Wanita maut dirempuh ketika sarapan di Sungai Petani


  • 112
  • Isnin, 28 Apr 2025

Seorang wanita maut dirempuh sebuah Perodua Alza yang terbabas di sebuah kedai makan di Taman Bersatu dekat Sungai Petani, Kedah pada pagi Isnin.

NIAT seorang wanita menikmati sarapan bertukar tragedi apabila dia maut dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terbabas di sebuah kedai makan di Taman Bersatu dekat Sungai Petani, Kedah pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Han Chin Ting, 55, yang bekerja sebagai jurujual barangan farmasi, sedang menjamu selera bersama beberapa pelanggan lain sebelum secara tiba-tiba dirempuh sebuah Perodua Alza.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata siasatan awal mendapati pemandu MPV berkenaan, seorang wanita berusia lingkungan 50-an, dipercayai mengalami serangan minor strok ketika kejadian.

BACA LAGI : [VIDEO] Lelaki maut terkena tembakan dekat kepala di Kuching bukan pemandu Myvi

BACA LAGI : [VIDEO] Ada 4 rekod jenayah, pemandu naik hantu langgar lelaki ditahan — Polis Klang

"Akibat serangan itu, pemandu terbabit hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar ke dalam kedai makan tersebut. 

"Mangsa mengalami kecederaan parah pada beberapa anggota badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. 

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat, manakala pemandu kenderaan terbabit turut dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram