
SEORANG lelaki berusia 38 tahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Ring dekat Tangkak, Johor ketika memancing seorang diri dalam kejadian awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, kejadian itu disedari seorang lelaki berusia 71 tahun yang juga bapa angkat mangsa.
"Warga emas tersebut mula berasa risau apabila anak angkatnya, Mohd Saufi Rosni tidak pulang ke rumah selepas keluar memancing sejurus selepas tengah malam Isnin.
BACA LAGI: Arab Saudi umum penalti lebih RM115,000 terhadap jemaah haji tanpa permit, pihak bersubahat
BACA LAGI: [VIDEO] Merpati 2 sejoli menyamar pelanggan, kebas barang kemas lebih RM100,000 di Shah Alam
"Mangsa kebiasaannya pulang sekitar pukul 6.30 pagi, namun sehingga pukul 8 pagi masih belum kelihatan.
"Bapa angkatnya yang bimbang kemudian pergi mencarinya di kawasan sungai tetapi hanya menemui bot milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Berikutan itu, satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan segera dengan penyertaan polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk setempat.
Menurut Komander Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, Mohd Farizan Mokhtar, usaha mencari pada hari pertama terpaksa dihentikan pada pukul 8 malam Isnin berikutan hujan lebat dan keadaan sungai yang dalam, iaitu kira-kira 30 meter.
"Mayat Mohd Saufi Rosni akhirnya ditemui orang awam pada kira-kira pukul 9.50 pagi Selasa, iaitu sekitar 800 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang," katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tangkak, Johor untuk proses bedah siasat.
Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan aktiviti di kawasan sungai tanpa pengawasan, terutama pada waktu malam atau seorang diri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram