Perodua Axia ‘makan jalan’ bas kilang punca nahas ragut nyawa 2 sahabat — Polis Muar


  • 112
  • Khamis, 17 Apr 2025

Menerusi gambar dikongsikan, kenderaan Axia dinaiki mangsa dilihat remuk di bahagian depan akibat kemalangan tersebut. — Facebook

DUA pemuda maut selepas kereta dinaiki bertembung sebuah bas kilang yang membawa 30 penumpang di Jalan Salleh-Bukit Pasir, Muar, Johor pada pukul 6 pagi Khamis.

Kedua-dua mangsa Muhammad Nur Aiman Azharry, 21, dan Amar Jazli Yusof, 26, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Muhammad Fazli Mat Jinin, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.18 pagi.

"Dua mangsa iaitu pemandu kereta dan pemandu Perodua Axia tersepit di tempat duduk masing-masing," katanya dalam satu kenyataan.

BACA LAGI: Harga berpatutan, hidangan pantas resipi bisnes nasi daun pisang anak Kedah berkembang, cecah pendapatan RM70 juta

BACA LAGI: Obsesi baharu bilionair China jaga masa depan negara

Menurut beliau, pemandu bas berusia 49 tahun dan 30 penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, siasatan awal polis mendapati kemalangan tersebut berpunca daripada Perodua Axia dinaiki mereka memasuki laluan bertentang sebelum bertembung bas kilang.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, Perodua Axia yang dipandu Amar Jazli Yusof, 26, dan dinaiki penumpang yang juga rakannya, Nur Aiman Mohd Azharry, 21, dalam perjalanan dari Tanjung Agas ke Bukit Pasir.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Axia dipandu mangsa dikatakan memasuki bertentangan sebelum bertembung dengan bas kilang yang membawa 20 penumpang.

"Akibat perlanggaran itu, kedua-dua kenderaan terseret ke laluan asal Perodua Axia.

"Kedua-dua pemandu dan penumpang yang menaiki kereta Perodua Axia disahkan maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada anggota badan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. 

Raiz Mukhliz berkata, pemandu serta 20 penumpang bas pula terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini untuk bedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram