
SIAPA sangka dengan hanya satu pertanyaan kepada aplikasi kecerdasan buatan (AI), ChatGPT, mengenai simpton ketegangan ringan pada rahang menyelamatkan nyawa seorang wanita hamil dan bayi dalam kandungannya di Amerika Syarikat (AS).
Pencipta kandungan media sosial, Natallia Tarrien yang berasal dari North Carolina itu berkongsi pengalaman luar biasanya menerusi satu hantaran di Instagram apabila perbualan spontan dengan ChatGPT membawa kepada kelahiran bayinya secara kecemasan.
Bukan itu sahaja, tindakan spontan dan bersahaja menanyakan soalan kepada aplikasi tersebut telah menyelamatkan nyawanya dan juga bayi dalam kandungannya pada masa itu.
"Saya cuma bertanya ‘Kenapa rahang saya rasa tegang?' sekadar suka-suka. Ia tidak kelihatan serius. Tetapi ChatGPT memberi amaran agar saya menyemak tekanan darah," katanya baru-baru.
Terkejut dengan hasil bacaan tekanan darah yang tinggi, Tarrien yang ketika itu sedang hamil lapan bulan segera mendapatkan rawatan.
Namun tekanan darahnya terus meningkat dan terus menanyakan soalan kepada aplikasi tersebut.
"ChatGPT menyuruh saya hubungi ambulans. Setibanya di hospital, tekanan darah saya mencecah 200/146. Doktor terus membuat keputusan untuk melahirkan bayi saya serta-merta.
"Anak saya selamat dilahirkan dan saya juga kini dalam keadaan baik," katanya lagi.
Malah, menurut Natallia, doktor memaklumkan bahawa jika dia memilih untuk tidur pada malam kejadian, besar kemungkinan dia akan kehilangan nyawa.
"Selama lima hari selepas bersalin, tekanan darah saya masih tidak stabil. Malah saya juga hilang penglihatan seketika. Semua ini bermula dengan satu simptom kecil dan satu soalan rawak. ChatGPT benar-benar menyelamatkan dua nyawa," luahnya.
Hantaran perkongsian Natallia di laman Instagram miliknya itu turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial berhubung teknologi AI.
Sementara itu, dalam satu kes berasingan, seorang pengguna Reddit turut mendakwa ChatGPT berjaya membantu menyelesaikan masalah rahangnya yang berlarutan selama lima tahun, hanya dalam masa 60 saat.
Bagaimanapun, para pakar mengingatkan orang ramai agar tidak menggantikan khidmat profesional perubatan dengan nasihat daripada AI.
“ChatGPT boleh membantu sebagai panduan awal, namun ia tidak patut dijadikan rujukan utama dalam soal kesihatan,” tegas seorang pakar perubatan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram