
SESI santai perkelahan sekumpulan lelaki di Kampung Langsat dekat Ranau, Sabah baru-baru bertukar kecoh apabila salah seorang daripada mereka terjun ke sungai untuk menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan.
Bukan itu sahaja, tindakan pantas hero yang juga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tersebut turut berjaya menyelamatkan mangsa hilang dibawa arus deras sungai berkenaan.
Detik cemas itu dikongsikan oleh salah seorang rakan mereka yang juga pencipta kandungan media sosial Sabah, Oubas Teped di laman Facebook miliknya pada Khamis.
BACA LAGI: [VIDEO] Jasad lelaki hanyut dibawa arus gemparkan penduduk Langat
Tindakan berani Ben Evieden berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak daripada lemas di sungai di Kampung Langsat, Ranau baru-baru ini.
Jelasnya, mereka ketika itu sedang menjalankan rakaman video di lokasi kejadian.
"Masa itu saya tengah ambil footage temubual sebelum tiba-tiba terdengar budak menjerit.
"Bila kami toleh, tengok-tengok budak perempuan itu sudah hanyut dibawa arus. Nasib baik kami perasan awal. Kawan saya terus terjun sebab dia paling kuat berenang antara kami,”
"Alhamdulillah selamat, hati-hati ya semua. Jangan biarkan anak kita mandi sungai terutamanya musim hujan. Thanks to our hero, Ben Evieden," katanya.
Menurut Oubas Teped lagi, kawasan sungai tersebut terkenal dengan arus berpusar dan berbahaya, namun Ben Evieden tetap terjun tanpa ragu-ragu.
"Siapa yang tahu pasal sungai ini, tahulah kisahnya tetapi dia tidak teragak-agak untuk terjun menyelamatkan budak tersebut.
"Untuk pengetahuan semua, Ben Evieden merupakan seorang anggota tentera dan telah melahirkan seorang insan yang sangat berani," katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai meluahkan rasa kagum terhadap keberanian Ben Evieden dan menyifatkannya sebagai wira sebenar.
Namun, ada juga yang mengecam kecuaian ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan kerana membiarkan anak kecil mandi sungai tanpa pengawasan rapi.
Mereka menyifatkan kejadian itu seharusnya menjadi peringatan kepada semua pihak, terutama ketika musim hujan yang meningkatkan risiko kejadian tidak diingini di kawasan sungai dan jeram. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram