
PENDUDUK sekitar kawasan Sungai Langat dekat Hulu Langat, Selangor digemparkan dengan penemuan jasad seorang lelaki pada petang Khamis.
Menurut maklumat awal yang tular di media sosial, mayat tersebut didapati hanyut dibawa arus kuat selepas kawasan tersebut dilanda hujan lebat oleh penduduk tempatan.
Rakaman video yang dimuat naik netizen di laman Facebook My Kuala Langat menunjukkan beberapa orang awam berada di lokasi melihat satu jasad terapung dalam keadaan terlentang serta sudah tidak bergerak dihanyutkan air.
BACA LAGI : Perodua Axia ‘makan jalan’ bas kilang punca nahas ragut nyawa 2 sahabat — Polis Muar
Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna Facebook, Suhaiza Jamburi, meluahkan rasa simpati terhadap mangsa.
"Mesti keluarganya tercari-cari,nampak macam masih lengkap berpakaian, risau tergelincir masa memancing," tulisnya
Manakala seorang lagi netizen, Ross Reen, turut meninggalkan komen yang mencetuskan pelbagai andaian dalam kalangan pengguna Facebook.
"Innalillahi wainna ilaihi rojiun. Ada beberapa kemungkinan, sama ada jatuh ketika memancing atau dibunuh dan dihumban dalam sungai," soalnya.
Sehingga kini, identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung insiden tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi mengesahkan mengenai penemuan mayat tersebut yang ditemukan tersangkut pada perangkap sampah Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, beliau berkata, pihaknya mengesan video di laman sosial memaparkan mayat terapung dan hanyut dipercayai di Sungai Langat.
"Berdasarkan maklumat lanjut, sepasukan polis pergi ke perangkap sampah itu dan menjumpai mayat yang tersangkut.
"Polis seterusnya meminta bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting untuk mengeluarkannya," katanya.
Mohd Akmalrizal berkata, siasatan lanjut mendapati lelaki itu berpakaian kemeja-T lengan panjang warna biru dan berseluar jeans.
"Pemeriksaan mendapati tiada kecederaan luaran. Mayat mempunyai tatu pada lengan kiri dengan perkataan 'Pablo Escobar', rusuk kanan (VIVIMMII) dan leher kiri.
"Bedah siasat sudah dijalankan yang mana keputusan punca kematian menunggu laporan penuh makmal," ujarnya yang turut memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-3187222 atau mana-mana balai polis berhampiran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram