‘Kisah benar Ipar Adalah Maut’, wanita Pulau Pinang terkesima diceraikan talak 2 depan anak sakit di hospital angkara penuntut ‘U’ di Shah Alam


  • Tular
  • Khamis, 17 Apr 2025

Seorang wanita terkejut diceraikan talak dua di hospital selepas tembelang suaminya menjalin hubungan sulit bersama adik kandungnya sendiri terbongkar. — Gambar Hiasan/JanaanAi

JIKA sebelum ini kita menganggap tajuk filem Ipar Adalah Maut hanyalah sindiran sinis dalam dunia perfileman, seorang wanita yang bermastautin di Selangor membuktikan bahawa kisah itu bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi mimpi ngeri yang benar-benar berlaku dalam hidupnya.

Wanita yang tidak didedahkan namanya itu berkongsi pengalaman rumah tangganya musnah selepas mengetahui suami yang dicintai dan dikongsi suka duka selama lapan tahun, menjalin hubungan sulit bersama adik kandungnya sendiri.

Kisah menyayat hati itu dikongsi wanita berasal dari Pulau Pinang berkenaan menerusi sebuah hantaran di media sosial yang kini tular di laman X (Twitter) sehingga menyentuh hati ribuan netizen.

BACA LAGI : Bukan sekadar filem, Ipar maut dah disebut dalam hadis, berdua-duaan ipar-duai bawa fitnah lebih besar

BACA LAGI : [VIDEO] 'Budak itu bukan anak saya,' ipar maut 'in real life' wujud di Pulau Pinang

"Saya tak pernah sangka, pengkhianatan paling besar dalam hidup saya datang dari dua orang yang paling saya percaya iaitu suami dan adik kandung," katanya.

 

Wanita itu terjumpa perbualan mesra antara suami dan adiknya menerusi aplikasi WhatsApp yang dibuka di komputer riba suaminya. — Gambar Hiasan/JanaanAi

Menurut wanita berkenaan, segalanya bermula apabila dia membenarkan adiknya yang berusia 20 tahun, menumpang tidur di rumah mereka setiap hujung minggu kerana universiti swasta tempat adiknya belajar terletak berhampiran dengan tempat kerja suaminya di Shah Alam, Selangor.

"Rumah jadi meriah bila adik ada. Anak-anak saya pun gembira ada teman. Saya percaya suami dan adik sendiri, sebab itulah saya izinkan suami jemput dia setiap minggu," luahnya lagi. 

Namun, suasana bahagia itu berubah apabila dia mula mengesyaki sesuatu apabila suami dan adiknya sering pulang lewat malam. 

Curiga itu bertukar duka apabila dia terjumpa perbualan mesra mereka menerusi aplikasi WhatsApp yang dibuka di komputer riba suaminya.

"Saya baca sendiri mesej antara mereka. Panggilan 'abang', emoji manja… dan gambar selfie dari gelanggang futsal yang diminta adik saya. Saya terduduk, menangis dalam diam," tulisnya. 

 

Kisah wanita tersebut tak ubah seperti filem sensasi Indonesia, Ipar Adalah Maut.

Lebih mengejutkan, wanita itu akhirnya melihat dengan mata kepala sendiri kedua-duanya berdua-duaan ketika dia sedang tidur. 

Perbalahan besar berlaku, sehingga anak kecil mereka dimasukkan ke hospital akibat sesak nafas.

Di hospital itulah wanita itu menceritakan diceraikan dengan talak dua, di hadapan anak-anak dan adiknya sendiri.

"Mereka tinggalkan saya dan anak-anak di hospital. Bila balik rumah, semua barang mereka dah hilang. 

"Saya jadi macam mayat hidup. Ayah dan ibu saya di kampung tak tahu apa-apa. Saya tipu mereka dengan kata semuanya okay," ujarnya.

Wanita itu turut mengakui mengalami tekanan emosi sehingga bercakap seorang diri dan mengasingkan diri selama hampir lima bulan, sebelum seorang rakan baik menyedari kehilangannya dan tampil memberi sokongan moral.

Kini, dia sedang berusaha membina semula hidupnya demi anak-anak, walaupun sehingga ke hari ini, dia tidak tahu keberadaan suami dan adiknya itu, sama ada sudah bernikah atau hidup bersama tanpa ikatan sah.

"Kalau mereka baca kisah ini, saya cuma mohon, berhentilah buat dosa. Saya akan maafkan, tapi saya takkan lupa sampai bila-bila," tulisnya. 

Kisah wanita itu sekali gus menjadi peringatan bahawa kepercayaan tanpa sempadan boleh mengundang musibah.

Meskipun sesama keluarga, tinggal serumah bersama ipar-duai tanpa kewujudan mahram sama sekali dilarang dalam Islam dan perlu dijauhi bagi menutup pintu fitnah (sadd al-dzari’ah). — Gambar Hiasan/JanaanAi

Dalam Islam, meskipun sesama keluarga, tinggal serumah bersama ipar-duai tanpa kewujudan mahram sama sekali dilarang dalam Islam dan perlu dijauhi bagi menutup pintu fitnah (sadd al-dzari’ah).

Hukum itu turut ditegaskan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi Irsyad al-Fatwa Siri ke-639: Hukum Ipar-Duai berlainan jantina tinggal serumah yang dimuat naik di laman web rasmi miliknya.

Mengulas lanjut, artikel itu memaklumkan, larangan tersebut dibuat sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelak timbulnya sebarang kerosakan (mafsadah) yang besar pada masa akan datang.

"Adapun, tidak mengapa ipar-duai tumpang tidur bermalam yang berasingan bilik selagi adanya mahram di sisi ipar-duai dan aman daripada fitnah.

"Mahram yang wajib ada ialah daripada pihak perempuan bukan lelaki," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram