
SEORANG wanita dikesan menjadi mangsa serangan fizikal dalam satu kejadian tular di lampu isyarat Persimpangan Taman Budiman Valley, Seksyen U15, Shah Alam, Selangor.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian kira-kira pukul 3.55 pagi Jumaat itu tular selepas dipercayai dirakam melalui kamera telefon pintar sebelum dikongsikan menerusi aplikasi WhatsApp.
Menurutnya, rakaman berdurasi tiga minit 21 saat itu memaparkan seorang wanita disyaki dipukul seorang lelaki di lokasi berkenaan.
"Pihak polis menerima satu laporan berkaitan kejadian daripada seorang wanita berusia 24 tahun kira-kira pukul 4.35 pagi pada Jumaat.
"Dalam kejadian tersebut, pengadu bersama rakannya menaiki kereta jenis Perodua Axia dari arah Shah Alam ke Puncak Alam melalui Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam.
"Ketika kenderaan mereka berhenti di lampu isyarat di lokasi kejadian, seorang wanita berbaju kurung dan tidak berselipar bertindak menahan kenderaan pengadu untuk meminta pertolongan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mohd Iqbal memaklumkan, setakat ini mangsa masih belum membuat sebarang laporan polis selain identitinya juga masih belum dikenal pasti.
Ujarnya, wanita tersebut diminta tampil membuat laporan dengan kadar segera bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian ini diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Shah Alam di talian 03-55202022 atau Ketua Polis Balai Bukit Jelutong, Inspektor Mohamad Amzar Mohamad Shuffie di talian 013-6666657," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram