
ORANG awam terutama pengguna aplikasi WhatsApp kini diseru agar lebih berwaspada terhadap taktik licik sindiket penipuan yang semakin berani menggunakan nama dan identiti golongan kenamaan untuk memperdaya mangsa.
Terbaharu, tular kes penipuan di aplikasi WhatsApp membabitkan individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, kononnya menubuhkan sebuah kelab eksklusif dikenali sebagai "Royal Club".
Sindiket itu dipercayai menyasarkan orang awam dengan menghantar mesej peribadi menggunakan gambar profil dan nama seolah-olah rasmi Tengku Hassanal, serta menawarkan ganjaran lumayan atau keahlian istimewa sebagai umpan.
BACA LAGI : [VIDEO] Tiga penjenayah ‘wanted’ dicekup kurang 24 jam susulan tetak di Seremban, ada rekod kes bunuh
BACA LAGI : [VIDEO] 'Elak insiden ngeri berulang, semua kenderaan perlu dipasang alat khas had kelajuan'
Melalui perkongsian seorang pengguna Threads, Raimi Zahari, sindiket tersebut dipercayai didalangi individu yang berasal dari Nigeria.
Modus operandi mereka melibatkan penghantaran mesej setiap hari, selain menggunakan gambar kad pengenalan palsu atas nama Tengku Hassanal bagi memperdaya mangsa.
Scammer tersebut turut menawarkan elaun mingguan sebanyak RM4,000 kepada mereka yang bersetuju menyertai kelab elit berkenaan.
Tangkap layar perbualan di aplikasi WhatsApp yang memaparkan scammer menyamar sebagai Tengku Mahkota Pahang.
Bagi menambah keyakinan, terdapat juga individu yang menyamar sebagai pegawai istana kononnya bertanggungjawab mengurus keahlian Royal Club tersebut.
Kejadian itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.
Seorang pengguna Thread, @isme_mk meluahkan kebimbangan terhadap taktik terbaru scammer yang dilihat semakin berani dan meyakinkan, terutama dalam memanipulasi golongan warga emas.
"Kita yang muda mungkin tak percaya tapi orang yang dah berusia risikonya tinggi sebab mereka tak terdedah dengan kes scammer di laman media sosial.
"Scammer ini boleh buat panggilan video menggunakan muka dan suara yang sama sehingga mengelirukan mangsa. Jadi untuk golongan yang sudah berusia seperti ibu bapa dan warga emas, sudah tentu mereka percaya," tulisnya.
Scammer tersebut turut menawarkan elaun mingguan sebanyak RM4,000 kepada mereka yang bersetuju menyertai kelab elit berkenaan.
Manakala pengguna lain, @JoeIzam, menyuarakan kebimbangan terhadap ibu bapa mereka.
"Tak mustahil ada warga emas yang terpedaya. kita mungkin terlepas, tapi bukan ibu bapa kita. Tolong buat aduan pada Kementerian Komunikasi (MCMC) dengan segera.
"Warga emas khususnya dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan mesej atau tawaran yang datang daripada nombor tidak dikenali, lebih-lebih lagi yang melibatkan wang atau maklumat peribadi.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa mahupun Istana Pahang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram