Tak payah main 'cak-cak', tegur mata juling antara larangan ketika ziarah bayi 'newborn'


  • Sihat
  • Jumaat, 18 Apr 2025

Ramai tidak sedar terdapat beberapa perkara penting perlu diberi perhatian bagi mengurangkan penyebaran penyakit kepada si manja. 

CAHAYA mata merupakan anugerah terindah yang membawa kebahagiaan dan keceriaan dalam sesebuah keluarga. 

Kehadiran bayi yang comel pastinya disambut penuh kegembiraan oleh ahli keluarga dan kenalan rapat, yang teruja untuk menatap wajah si kecil, mendukung atau sekadar menyentuhnya.

Namun, di sebalik keterujaan tersebut, ramai tidak sedar terdapat beberapa perkara penting perlu diberi perhatian bagi mengurangkan penyebaran penyakit kepada si manja. 

BACA LAGI: Ketahui mengapa kita tidak dapat mengingati apa yang berlaku sewaktu bayi

BACA LAGI: [VIDEO] Anak merengek nak buai 24 jam, pakar jelaskan teknik hayunan tenteramkan bayi

Dr Redza berkongsi enam jenis perbuatan yang perlu dielakkan ketika menziarahi bayi.

Menerusi satu hantaran di laman Instagram milik Pegawai Perubatan Pediatrik dari Klinik Perubatan Hijraa Kuantan, Dr Redza Zainol, beliau berkongsi enam jenis perbuatan yang perlu dielakkan oleh pelawat ketika menziarahi bayi, khususnya dalam tempoh awal kelahiran.

1) Agah bayi

Father playing with baby boy in bedroom at home

Tidak perlu mengagah bayi yang baru lahir.

Jika nampak bayi yang baru lahir, tidak perlu mengagah atau main 'cak-cak' dengan mereka. Bayi masih belum pandai nak main kerana matanya hanya boleh melihat bayangan muka sahaja.

Main cak-cak ialah sejenis permainan tradisional dan spontan yang sangat popular dalam kalangan orang dewasa dengan bayi atau kanak-kanak kecil. 

Permainan itu biasanya dilakukan dengan menutup muka menggunakan tangan atau objek lain, kemudian dibuka secara tiba-tiba sambil menyebut 'cak!', seolah-olah mengejutkan bayi. 

2) Pegang bayi

Pelawat dinasihatkan untuk tidak memegang bayi tanpa izin ibu dan bapanya.

Pelawat dinasihatkan untuk tidak sesuka hati memegang atau mencium bayi tanpa izin ibu dan bapanya.

Ia disebabkan sistem imun bayi masih belum matang, jadi mudah untuk mereka dijangkiti kuman.

Banyak kuman yang ada pada individu dewasa tidak menyebabkan gejala yang teruk, tetapi jika terkena pada bayi, ia berisiko mengancam nyawa.

3) Tegur mata juling

Jangan menegur mata seseorang bayi itu juling. Ini kerana kedudukan mata bagi kebanyakan bayi akan menjadi normal semula selepas umur empat bulan.

Jika masih juling selepas empat bulan, boleh rujuk semula pada doktor mata.

4) Kurangkan bagi tip

Ahli keluarga atau kenalan rapat tidak digalakkan untuk memberi pelbagai tip kepada ibu bapa.

Jika ada ibu bapa yang bertanya, bolehlah anda berkongsi tip dan pengalaman.

Bagaimanapun, sokongan moral dan mental serta kehadiran anda sebenarnya sudah cukup untuk membuatkan ibu bapa rasa selesa.

5) Perokok

Bayi yang terdedah kepada 'third-hand-smoker' berisiko mendapat jangkitan paru-paru.

Perokok berisiko membawa 'third-hand-smoker' kepada bayi, yang mana partikel asap rokok pada badan perokok tersebut boleh melekat pada kain bedung dan baju bayi.

Bayi yang terdedah kepada 'third-hand-smoker' juga berisiko mendapat jangkitan paru-paru dan telinga serta kematian secara tiba-tiba ketika tidur (SIDS). 

Jadi perokok sila jauhkan diri anda daripada bayi.

6) Kejut bayi tidur

Mengejutkan bayi tidur adalah antara perkara yang kerap dilakukan pelawat. Si ibu sudah berjam-jam menyusukan anak agar tidur lena, tetamu pula datang terus kejutkan bayi.

Tindakan itu memang boleh membuatkan ibu naik angin dan tertekan. Jadi, jika sudah melihat situasi tersebut, tahanlah diri dan biarlah si kecil tidur. 

Jagalah tingkah laku, adab dan tutur kata ketika melawat bayi agar anda tidak menjadi punca yang membawa risiko kepada kesihatan si kecil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram