Perut budak umur 3 tahun tiba-tiba memboyot, seminggu sembelit rupa-rupanya penuh cacing


  • Benua
  • Isnin, 14 Apr 2025

Imbasan CT usus kanak-kanak terbabit yang dipenuhi dengan cacing. — Agensi

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di Jawat Timur, Indonesia berdepan detik cemas apabila perutnya membesar dan tidak boleh membuang air besar selama seminggu.

Kanak-kanak itu juga dilaporkan mengalami gejala seperti muntah dan sesak nafas. 

Lebih mengejutkan apabila doktor mendapati usus pesakit itu dipenuhi dengan cacing selepas membuat pemeriksaan. 

BACA LAGI: [VIDEO] 'Jadilah mata dan telinga', Sultan Pahang seru rakyat jaga tanah elak terus diceroboh

BACA LAGI: Koperal tertembak diri sendiri di IPK Pulau Pinang ada masalah peribadi, kewangan

Cacing yang dikeluarkan daripada usus kanak-kanak terbabit. — Agensi

Pengarah Hospital Dr Soebandi, Jember, Nyoman Semita berkata, kanak-kanak tersebut kemudiannya dikejarkan ke ruang kecemasan untuk mendapatkan rawatan lanjut. 

Nyoman berkata, keputusan imbasan CT juga menunjukkan usus pesakit tersumbat yang menghalang proses penghadaman daripada berfungsi secara normal.

"Semasa menjalani rawatan, pesakit muntah dan mengeluarkan cacing dari mulutnya.

"Insiden itu mengejutkan pasukan perubatan dan mencetuskan perbincangan khas melibatkan empat doktor daripada pelbagai unit.

"Oleh kerana ini adalah kes yang unik, ia sudah dibincangkan oleh pakar bedah kanak-kanak, pakar pediatrik dan pakar parasit klinikal," katanya pada Ahad. 

Menurutnya, pasukan perubatan memutuskan untuk melakukan pembedahan kerana bimbang ia mengganggu fungsi penghadaman dan pernafasan.

Katanya, doktor juga mendapati tiga titik sumbatan dalam usus kecil kanak-kanak itu.

"Apabila usus dibuka, seluruh rongga usus kelihatan dipenuhi dengan cacing jenis ascariasis iaitu seperti cacing tanah.

"Semua cacing kemudian dibuang, usus dibersihkan dan pesakit diberi ubat cacing untuk memastikan tiada parasit kekal.

"Selepas itu, dia diberi ubat cacing supaya pulih sepenuhnya," jelasnya.

Kata Nyoman, kes itu sekali gus disiarkan bagi tujuan memberi pengajaran kepada masyarakat untuk sentiasa menjaga kebersihan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram