
BENCANA gempa bumi melanda Myanmar terus mencatatkan peningkatan angka kematian mencecah 694 mangsa manakala 1,670 cedera parah setakat Sabtu.
Gegaran berukuran 7.7 magnitud itu turut dirasai di negara jiran Thailand yang mengakibatkan sebuah bangunan runtuh di Bangkok pada Jumaat.
Operasi menyelamat kini sedang giat dijalankan di kedua-dua negara berkenaan dengan seorang wanita dan bayinya difahamkan terperangkap di bawah timbunan bangunan runtuh tersebut.
BACA LAGI: Ada penduduk Pulau Pinang berasa pening akibat kesan gempa bumi kuat di Myanmar
Pasukan penyelamat, yang terdiri daripada anggota bomba, paramedik dan sukarelawan, menghadapi cabaran besar untuk menggerudi bongkah batu dan serpihan yang memerangkap kedua-dua mangsa itu.
Berbekalkan alatan serba canggih, misi itu berjaya dilaksanakan selepas tangisan bayi dan ibunya kedengaran beberapa jam selepas operasi itu dijalankan.
[KLIK GAMBAR UNTUK TONTON VIDEO]
Mangsa dilaporkan terselamat dengan bayi itu ditemukan dalam dakapan ibunya ketika kejadian.
Wanita terbabit cedera patah tulang belakang dan kini sedang diberikan rawatan di hospital.
Dalam pada itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi menyatakan kesediaan untuk memberikan sokongan serta bantuan penuh terhadap bencana tersebut.
Kerajaan Myanmar dalam masa sama mengisytiharkan darurat di enam wilayahnya selain turut memohon bantuan dari negara-negara antarabangsa berhubung situasi dihadapinya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram