
"RASA nak pitam, kaki tak pijak tanah dan raya terhuyung-hayang," itulah perkataan yang keluar dari mulut seorang rakyat Malaysia yang turut merasai gegaran di Thailand selepas gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud melanda Myanmar pada Jumaat.
Menurut Irfan Foner, gegaran tersebut turut menyebabkan panik dalam kalangan pengunjung dan peserta pameran pesta buku yang berlangsung di Bangkok.
"Satu pengalaman yang mencemaskan, gempa bumi di pesta buku, semua orang lari keluar. Bangunan rasa bergegar dan boleh nampak lampu di atas siling bergoyang-goyang.
BACA LAGI: Ada penduduk Pulau Pinang berasa pening akibat kesan gempa bumi kuat di Myanmar
"Ini adalah kali pertama saya merasakan gegaran gempa bumi," katanya dalam dalam satu perkongsian rakaman video di laman Facebook miliknya pada Jumaat.
Jelas Irfan lagi, gegaran itu berlaku secara tiba-tiba sehingga menyebabkan ramai pengunjung panik dan bergegas keluar dari dewan pameran untuk mencari tempat selamat.
"Saya ingat saya yang nak pitam, rasa bergoyang-goyang tetapi rupanya bangunan ini yang bergegar.
"Semua orang sedeang berlari keluar mencari tempat yang lebih selamat," katanya lagi.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan sebuah bangunan tinggi yang sedang dalam pembinaan di Bangkok runtuh akibat gempa tersebut, mengakibatkan sekurang-kurangnya beberapa kematian dan puluhan cedera.
Pihak berkuasa Thailand turut mengisytiharkan Bangkok sebagai zon bencana dan sedang menjalankan operasi menyelamat serta menilai kerosakan yang berlaku.
Gempa bumi yang berlaku Myanmar menyebabkan gegaran dirasai di beberapa bandar utama Thailand seperti Phuket, Pattaya, dan Chiang Mai.
Penduduk di kondominium dan hotel tinggi dilaporkan keluar menyelamatkan diri kerana bimbang berlakunya runtuhan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram