
GEMPA bumi berukuran 7.7 magnitud yang melanda Myanmar pada Jumaat turut mengakibatkan gegaran dirasai di Pulau Pinang, mencetuskan panik dalam kalangan penghuni bangunan tinggi di negeri berkenaan.
Beberapa individu yang berada di bangunan pencakar langit melaporkan mengalami pening secara tiba-tiba, malah ada yang menyaksikan objek di sekeliling mereka bergoyang.
Penulis Buletin Mutiara, M. Thanushalini, 38, yang ketika itu berada di tingkat 47, berkongsi pengalaman merasakan persekitarannya berayun sewaktu sedang bekerja.
BACA LAGI: [VIDEO] Mok Awe cedera parah diserang gajah liar di Kuala Krai
"Saya sedang menaip artikel apabila tiba-tiba mengalami vertigo. Pada awalnya, saya menyangka hanya pening seketika, jadi saya terus bekerja.
"Hanya selepas mendapat maklumat tentang gempa bumi itu, barulah saya sedar gegaran yang dirasai berpunca daripada kejadian tersebut.
"Sepanjang lapan tahun bekerja di sini, ini adalah kali pertama saya mengalami situasi seperti ini," katanya.
Gempa bumi berukuran 7.7 magnitud yang melanda Myanmar pada Jumaat turut mengakibatkan gegaran dirasai di Pulau Pinang, mencetuskan panik dalam kalangan penghuni bangunan tinggi di negeri berkenaan. pic.twitter.com/b8QBKj5ZHS
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) March 28, 2025
Sementara itu, Penolong Setiausaha Unit Perancang Ekonomi Pulau Pinang, Zeulqarnain Wahid, 33, turut merasakan gegaran dari pejabatnya di tingkat 26.
"Lampu hiasan Hari Raya di pejabat kami mula berayun, dan saya berasa sedikit pening. Beberapa rakan sekerja juga mengalami perkara yang sama. Kami sedar ini bukan sesuatu yang biasa.
"Namun, keadaan terkawal dan tiada keperluan untuk pemindahan," katanya.
Mereka yang berada di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), George Town yang merupakan bangunan tertinggi di Pulau Pinang, juga melaporkan merasakan gegaran tidak lama selepas gempa bumi yang berlaku sekitar pukul 2.21 petang itu.
Sementara itu, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa bumi tersebut berlaku kira-kira 55 kilometer ke barat daya Mandalay, Myanmar, pada kedalaman 57 kilometer.
Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami dikesan di Malaysia susulan kejadian tersebut. — The Star/LO TERN CHERN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram