
SEORANG kakitangan hospital di Hospital Nam Som, Thailand mengalami kecederaan selepas diserang secara ganas oleh seorang pesakit dalam kejadian yang berlaku baru-baru ini.
Kejadian itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) hospital berkenaan dan ditularkan semula sejak Jumaat.
Difahamkan, insiden yang berlaku pada 5 Mac itu pada mulanya dimuat naik Penolong Menteri kepada Timbalan Perdana Menteri, Leftenan Kolonel Dr. Thanakrit Chit-arirat di laman Facebook rasmi miliknya.
Melalui video yang dikongsikan memaparkan seorang pembantu kakitangan wanita diserang hanya kerana memanggil nama pesakit bagi mendapatkan nombor giliran.
Lelaki terbabit bertindak agresif dengan menumbuk muka mangsa, menyebabkan kecederaan pada lengan, muka, dan kepala.
Dr. Thanakrit turut meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan kakitangan hospital.
"Sekali lagi, kakitangan hospital diserang secara fizikal," tulisnya.
Seorang pekerja hospital di Hospital Nam Som, Thailand mengalami kecederaan selepas diserang secara ganas oleh seorang pesakit. pic.twitter.com/Q4xs7WuHzY
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) March 15, 2025
Video berkenaan tular di media sosial dan mencetuskan kemarahan dalam kalangan orang ramai.
Warga maya mendesak agar tindakan undang-undang tegas dikenakan terhadap pesakit terbabit bagi memberi pengajaran serta mencegah insiden serupa daripada berulang.
Difahamkan, kejadian tersebut bukanlah yang pertama melibatkan serangan terhadap kakitangan hospital di Thailand.
Ramai pihak menggesa supaya langkah keselamatan diperketatkan di semua hospital dengan menambah bilangan pegawai keselamatan, meningkatkan pemantauan menerusi sistem CCTV, serta mewujudkan protokol kecemasan yang lebih berkesan.
Kejadin itu mencerminkan cabaran keselamatan yang dihadapi petugas kesihatan di Thailand, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai langkah pencegahan yang perlu diambil bagi melindungi mereka daripada keganasan dan gangguan ketika menjalankan tugas. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram