[VIDEO] 'Mungkin ALLAH nak beri saya syurga', kakak sabar jaga adik hilang tempurung kepala, terlantar akibat kemalangan ragut nyawa ibu bapa


  • Massa
  • Rabu, 12 Mac 2025

Dengan semangat dan kepercayaan yang kuat kepada ketentuan Ilahi,  Effa terus tabah menjaga adiknya NoorHidayah dan yakin bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan bakal membuahkan ganjaran yang lebih besar di akhirat kelak.

MESKIPUN sudah 13 tahun berlalu, seorang wanita tetap cekal menjaga adik perempuannya yang hanya terlantar di atas katil selepas terlibat kemalangan ngeri yang hampir meragut nyawanya.

NoorFarleny Mohamad Nor, 43, dari Kamunting, Perak tekad untuk terus menjaga adiknya, NoorHidayah Mohamad Nor sehingga ke akhir hayat.

Menurut NoorFarleny yang lebih mesra dipanggil Effa, adik bongsunya itu terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada 1 Mei 2012.

BACA LAGI :[VIDEO] Bukan saja-saja nak gigit, peniaga tular serang anggota penguat kuasa DBKL dakwa kena tendang, dikasari pegawai sebelum kejadian

BACA LAGI :Senasib syiling, not kertas RM1 dianggap tiada nilai jadi duit raya, generasi muda lebih suka terima 'e-Wallet'

Lebih menyedihkan, kemalangan itu bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada adiknya, malah turut meragut nyawa kedua-dua orang tua mereka sebulan selepas kejadian.

 

NoorFarleny (kiri) tekad untuk terus menjaga adiknya, NoorHidayah (kanan) sehingga ke akhir hayatnya.

"Hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa remuknya hati apabila melihat keadaan adik dan kedua-dua arwah orang tua saya ketika kemalangan itu berlaku.

"Apatah lagi kejadian itu berlaku ketika ketiga-tiga mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Taiping, Perak dari rumah saya yang terletak di Ipoh.

"Saya reda dengan apa yang berlaku cuma masih terbayang-bayang melihat keadaan mereka bertiga pada ketika itu," katanya dengan nada sayu kepada Majoriti.

Jelas Effa, nahas itu menyebabkan adik bongsunya itu tidak mampu bergerak, bertutur kerana mengalami kecederaan serius di kepala sehinggakan tempurung kepala di bahagian depan adiknya terpaksa dibuang.

Melihatkan keadaan adiknya itu, dia nekad berhenti kerja bagi menjaga NoorHidayah secara sepenuh masa.

"Kemalangan itu menyebabkan adik saya cedera serius di kepala. Kecederaan itu menjejaskan kebolehannya untuk berge­rak serta bertutur.

"Adik juga tiada tempurung kepala dan sejak kejadian itu, dia terlantar serta tidak boleh menjaga diri sendiri.

"Saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja untuk menjaga kebajikan dan kesihatan NoorHidayah," ujarnya.

Menurutnya, dia tidak pernah menyesal membuat keputusan itu kerana kebajikan dan kesihatan NoorHidayah menjadi ke­utamaannya dan keluarga.

"NoorHidayah koma selama lebih sebulan dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) selama empat bulan. Doktor tidak memberi harapan tinggi kerana keadaannya sangat kritikal, tetapi dengan izin ALLAH, dia perlahan-lahan menunjukkan tanda pemulihan.

"Walaupun begitu, NoorHidayah masih terlantar dan memerlukan penjagaan rapi. Dia tidak boleh bercakap seperti dahulu, tetapi masih dapat memahami perbualan.

"Dia juga mengalami sawan apabila melihat gambar mak dan abah, jadi kami mengelakkan perkara yang boleh mengganggunya secara emosi.

"Saya bersyukur kerana dapat menjaganya, walaupun banyak cabaran. Sekarang, dia hanya boleh makan makanan lembut," katanya.

Dalam menempuh ujian berat menjaga adiknya, Effa mengakui pernah hilang arah dan menyalahkan diri sendiri. Namun, kata-kata semangat daripada orang sekeliling membantunya bangkit semula.

"Saya dulu macam hilang pedoman, rasa macam dah lupa agama, sebab terlalu menyalahkan diri sendiri," katanya.

Gambar kenangan keluarga Effa (berdiri kiri) bersama abang (tengah), NoorHidayah (berdiri kanan) dan kedua-dua orang tua mereka.

Namun, sokongan dan dorongan daripada orang ramai membuatkan dia kembali kuat. Menurut Effa, dia percaya bahawa setiap ujian yang diberikan mempunyai hikmah tersendiri.

"Mungkin ALLAH hantar NoorHidayah dalam keadaan begini untuk panjangkan umur dia, supaya saya dapat menjaga dia dan mengumpul pahala," katanya dengan penuh kesyukuran.

Walaupun menjaga adiknya, NoorHidayah, bukan satu tugas mudah, Effa berasakan perjalanan itu dipermudahkan.

"ALLAH permudahkan urusan saya. Adik saya pun tak pernah menyusahkan saya selama ini. Dia seorang yang ceria, suka budak-budak.

"Masa dia sihat, kalau balik kampung, dia memang suka bermain dengan budak-budak. Dia seorang yang happy-go-lucky," katanya.

Dengan semangat dan kepercayaan yang kuat kepada ketentuan Ilahi, Effa terus tabah menjaga adiknya, yakin bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan bakal membuahkan ganjaran yang lebih besar di akhirat kelak. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram