
TINDAKAN tegas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Penguatkuasaan terhadap penjaja air balang tanpa lesen atau dikenali sebagai 'Rambo' di sekitar Jalan Raja, Kuala Lumpur disambut baik oleh warga maya.
Rata-rata netizen menyokong langkah tersebut dan menggesa pihak berkuasa untuk terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap penjaja tanpa lesen di sekitar ibu kota.
Menurut seorang pengguna Facebook Azam Muhd, isu tersebut bukan sekadar soal pemilikan lesen perniagaan tetapi turut melibatkan aspek kebersihan dan keselamatan makanan yang dijual kepada orang ramai.
BACA LAGI : [VIDEO] Kecoh satu Klang gudang kurier dirompak sekumpulan lelaki berparang
"Bukan isu tak nak tolong pengiaga kecil tetapi lebih kepada penyediaan air dan makanan itu sendiri.
"Mana sumber air balang itu? Air paip? Penjaja itu sendiri sudah dapatkan suntikan typhoid? Ini semua perlu diambil kira. Melibatkan kesihatan awam," tulisnya.
Pendapat Azam itu turut disokong seorang lagi warga maya, Delivery Seri Kembangan.
"Eloklah disita supaya memberi pengajaran kepada penjaja dan peniaga tanpa lesen yang sah. Ini bukan soal lesen tapi melibatkan makanan dan minuman yang dijual," katanya.
Rata-rata netizen menyokong DBKL untuk terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap penjaja tanpa lesen di sekitar ibu kota. — Facebook DBKL
Terdapat juga dakwaan daripada netizen bahawa sebahagian daripada penjaja ini bukanlah penduduk tempatan dan tidak mematuhi standard kebersihan yang sepatutnya.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan mengenai kualiti makanan dan minuman yang dijual secara terbuka tanpa kawalan yang sewajarnya.
Terdahulu, DBKL melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap penjaja air balang tanpa lesen atau 'Rambo' di sekitar Jalan Raja.
DBKL dalam kenyataan berkata hasil risikan dan siasatan mendapati penjaja sering bertukar lokasi perniagaan bagi mengelak dikesan anggota penguat kuasa mereka.
"Penjaja didapati menyembunyikan barang perniagaan di bangunan sekitar Dataran Merdeka, Kuala Lumpur .
"Operasi dijalankan susulan aduan orang awam yang tidak selesa serta meragui tahap kebersihan air yang dijual kerana peralatan perniagaan dibiarkan terdedah dan dikhuatiri tidak dibersihkan dengan sempurna," menurut kenyataan dimuat naik di Facebook pada Jumaat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram