
SEORANG lelaki yang ditahan polis selepas menumbuk seorang pelajar sekolah menengah hingga mengalami retak tulang hidung dalam satu insiden perselisihan jalan raya di Saujana Impian, Kajang, Selangor pada Jumaat kini direman sehari.
Seramai enam individu dilaporkan sudah dirakam keterangan berhubung kes tersebut dan siasatan masih diteruskan.
Sebelum ini, penasihat agensi pelancongan berusia 39 tahun itu ditahan selepas videonya tular di laman media sosial pada hari yang sama.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, memaklumkan pihaknya menerima laporan pada pukul 9.24 malam Jumaat daripada remaja berusia 17 tahun yang menjadi mangsa serangan itu.
"Insiden dikatakan berlaku pada pukul 2.15 petang selepas berlaku ketegangan antara mangsa dan suspek ketika mereka memandu di kawasan tersebut.
"Difahamkan, selepas pertengkaran kecil di jalan raya, lelaki itu keluar dari kenderaannya sebelum bertindak ganas dengan menumbuk pelajar terbabit bertubi-tubi.
" Akibat serangan itu, remaja berkenaan mengalami kecederaan serius di bahagian hidung dan mendapatkan rawatan di Hospital Kajang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau lagi, susulan daripada itu, pihak polis menahan suspek 9.50 malam pada hari yang sama bagi membantu siasatan.
"Siasatan juga mendapati pengadu tidak mempunyai lesen memandu dan telah dikenakan saman trafik," katanya.
Sementara itu, selebriti media sosial dan penyanyi rap, Caprice mendakwa lelaki tersebut pernah mengasari dua budak lelaki pada tahun lalu dalam sebuah kawasan perumahan di Kajang.
Selebriti berkenaan turut berkongsi satu video memaparkan lelaki tersebut menampar dan mengeluarkan kata-kata kasar terhadap dua kanak-kanak lelaki.
Difahamkan, kejadian itu dirakam oleh seorang saksi yang tidak mahu dikenali sebelum video tersebut dihantar kepada Caprice yang kemudian memuat naik video berkenaan ke Instagram, mencetuskan pelbagai reaksi warga maya.
Namun begitu, tidak dinyatakan punca sebenar kejadian itu berlaku. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram