Persahabatan sejak sekolah menengah berakhir di puncak Carstensz, 2 pendaki wanita meninggal dunia akibat hipotermia


  • Benua
  • Isnin, 10 Mac 2025

Lilie (kanan) dan Elsa sempat merakam kebahagiaan mereka setelah menakluk cabaran pendakian sukar itu. — Agensi

DUA pendaki wanita, Lilie Wijayati, 60, dan Elsa Laksono, 59, dilaporkan meninggal dunia akibat mengalami hipotermia ketika menuruni Puncak Carstensz di Papua, Indonesia pada 1 Mac lalu.

Salah seorang pendaki dalam kumpulan tersebut, Indira Alaika berkata, mereka dilanda cuaca ekstrem yang melibatkan salji lebat, hujan dan angin kencang semasa perjalanan turun.

Ujarnya, keadaan yang sukar itu menyebabkan separuh daripada pendaki termasuk Lilie dan Elsa, terdedah kepada hipotermia.

BACA LAGI: Pendakian terakhir, warga emas meninggal dunia ketika daki Gunung Kinabalu

BACA LAGI: Resort Ambu Yaala, Sri Lanka hanya menggaji staf wanita, teroka potensi, tingkat kemahiran sektor pelancongan

Malangnya, kedua-dua sahabat baik itu tidak dapat diselamatkan.

"Selain Lilie dan Elsa, lima pendaki lain turut mengalami hipotermia. Namun, tiga daripada mereka berjaya diselamatkan.

"Tiga pendaki yang terselamat terperangkap dan terpaksa menghabiskan malam di Summit Ridge berhampiran puncak," katanya.

Dalam pada itu, Indira Alaika memberitahu, Lilie dan Elsa sudah bersahabat sejak di sekolah menengah.

Kedua-duanya telah berjaya mendaki pelbagai gunung di dalam dan luar negara. — Agensi

Walaupun terpisah disebabkan pilihan kerjaya yang berbeza, iaitu Lilie bekerja sebagai pereka fesyen di Bandung manakala Elsa merupakan doktor gigi, kedua-dua wanita itu kembali bertemu dan aktif mendaki gunung bersama.

Elsa menjadi sumber semangat kepada Lilie yang juga dikenali sebagai Mamak Pendaki, untuk kembali mendaki selepas ulang tahun ke-50 Lilie.

Bersama-sama, mereka membentuk komuniti pendakian 'Kura-Kura Gunung', yang telah berjaya mendaki pelbagai gunung di dalam dan luar negara.

Keluarga mereka turut berkongsi gambar Elsa dan Lilie di puncak Carstensz, yang menggambarkan kebahagiaan mereka setelah menakluk cabaran pendakian sukar itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram