
WANITA di seluruh dunia berdepan dengan isu berkaitan ketidaksamarataan di antara jantina, namun masih ramai yang masih enggan bersuara atas dasar malu, kebimbangan mengenai privasi atau mencemarkan maruah mereka.
Di Malaysia, ada beberapa Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) yang memberi tumpuan khusus membantu wanita mengatasi isu-isu tersebut justeru menanganinya dari akar umbi.
Badan-badan pertubuhan ini memfokuskan dalam memperkasa golongan wanita agar mereka diberi platform untuk meningkatkan kualiti kehidupan dan mata pencarian.
BACA LAGI: Neymar kembali lepas 2 tahun tersisih, bintang buangan Man United terus dilupakan Brazil
Seiring dengan Hari Wanita Sedunia pada hari ini, Majoriti berkongsi lapan NGO yang memiliki kekuatan dalam memperjuangkan hak wanita.
WOW mengklasifikasikan menawarkan program keusahawanan kepada wanita-wanita yang ingin menyara kehidupan.
Women of Will (WOW)
WOW mengklasifikasikan ibu tunggal, balu, wanita yang didera dan wanita yang mempunyai suami tidak berupaya sebagai golongan terpinggir. Ia menawarkan program keusahawanan kepada wanita-wanita tersebut agar mereka berkemampuan menyara kehidupan sendiri dan keluarga.
Sokongan kewangan yang berupa pinjaman mikro tanpa faedah, akan diberikan kepada peniaga kecil wanita khususnya buat yang baru sahaj berjinak-jinak memulakan perniagaan.
Pada masa ini, anda boleh menemui pelbagai produk daripada usahawan wanita yang tersenarai di pasaran WOW seperti barangan kek dan roti, manisan dan sebagainya.
www.womenofwill.org.my
Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu menjadi pusat krisis sehenti pertama yang ditubuhkan oleh Sawo.
Sabah Women’s Action Resource Group (Sawo)
Mula tubuhkan pada 1986, Sawo mengadakan kempen nasional pertama yang membawa kesedaran mengenai keganasan terhadap wanita di Sabah dengan kerjasama JAG (Joint Action Group for Gender Equality).
Pelaksanaan itu memberi impak melalui bengkel dan pameran awam selama dua hari yang meningkatkan kesedaran mengenai kekejaman terhadap wanita.
Sawo turut menyediakan pusat krisis sehenti pertama di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah dan memperjuangkan lebih banyak lagi tempat perlindungan untuk wanita dan kanak-kanak yang sedang berhadapan dengan krisis.
Bahkan terdapat talian bantuan pertama bagi mereka yang mahukan sokongan emosi dan telah menjalankan pelbagai program latihan serta kesedaran di kawasan luar bandar dan bandar dalam negeri.
www.sawo.org.my
Kempen #bukansalahkamek pada 2022, SWWS memohon agar perkahwinan kanak-kanak diharamkan.
Sarawak Women for Women Society (SWWS)
Mula perjuangkan hak wanita pada 1985, keprihatinan utama SWWS adalah wanita muda yang berhadapan dengan penderaan, terutamanya yang berada di kawasan luar bandar.
SWWS menggalakkan mangsa penderaan untuk tampil bersuara mengenai pengalaman mereka melalui talian bantuan yang menjamin identiti pelapor dirahsiakan.
Melalui kempen #bukansalahkamek pada 2022, SWWS memohon agar perkahwinan kanak-kanak diharamkan.
Petisyen tersebut mengumpul lebih daripada 700 tandatangan yang bersetuju dengan inisiatif untuk menaikkan usia minimum perkahwinan bagi gadis dari 16 ke 18 tahun.
SWWS juga telah melatih guru-guru di seluruh Sarawak mengenai keselamatan peribadi kanak-kanak yang perlu dikongsikan.
www.sarswws.org
Women for Refugees (WFR)
Bertempat di Kuala Lumpur, WFR memperjuangkan hak pelarian untuk menerima pendidikan dan bekerja di Malaysia.
Organisasi tersebut menubuhkan inisiatif Karama yang memberikan latihan kepimpinan kepada pelarian dan menghubungkan mereka dengan peluang pekerjaan.
WFR juga menjalankan program seperti Refugee Women Development Programme (RWDP). Ia merupakan kelas khas untuk wanita pelarian untuk mempelajari bahasa Inggeris dan kewangan termasuk pendidikan kemahiran seperti menjahit.
www.womenforrefugees.org
Soroptimist International Region of Malaysia (Sirom)
Ditubuhkan pada tahun 1993, Sirom berdedikasi untuk meningkatkan kehidupan wanita dan gadis di Malaysia.
Sebagai sebahagian daripada rangkaian global Soroptimist International, Sirom memberi tumpuan kepada mendidik dan memperkasakan golongan itu untuk mencapai potensi penuh mereka.
Inisiatif Sirom merangkumi pelbagai bidang termasuk pendidikan, kesihatan, alam sekitar, pembangunan ekonomi dan sosial, serta latihan kemahiran.
Antara inisiatif yang terkenal, Sirom mengendalikan projek Clean Water to Rural Communities yang dimulakan di Kampung Gana di Kota Marudu, Sabah.
Sirom juga bekerjasama dengan SPARK Foundation, yang menaja pembinaan sistem air graviti yang mengalirkan air dari sungai gunung ke kampung tersebut.
www.simalaysia.org.my
Perak Women for Women (PWW)
Berdedikasi untuk meningkatkan status dan kehidupan wanita serta kanak-kanak sejak 2003, PWW memberikan kemudahan untuk menyegerakan bantuan kepada mereka yang menghadapi penderaan, keganasan dan diskriminasi, tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang sosial.
PWW dengan bantuan tenaga para sukarelawan sering mengadakan kelas untuk peserta dari semua peringkat umur, merangkumi topik daripada literasi komputer hingga membakar biskut.
Organisasi ini juga mengendalikan sebuah kedai di ibu kota Perak, Ipoh, yang menjual barangan baru dan terpakai yang didermakan oleh penyokong serta sebuah kelab buku untuk menggalakkan membaca sebagai aktiviti masa lapang.
www.pww.org.my
StandUp Malaysia
Ditubuhkan pada tahun 2018 dengan tujuan untuk melawan keganasan berasaskan jantina, StandUp Malaysia bertujuan untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran mengenai keganasan terhadap wanita di semua peringkat umur di Malaysia.
Sebelumnya, mereka bekerjasama dengan organisasi Amaze untuk mencipta kandungan yang sesuai mengikut peringkat umur bagi membuka minda anak muda memahami isu-isu yang timbul.
Kempen "Hear Me Now!" telah membenarkan wanita menghantar cerita mengenai pengalaman tidak menyenangkan mereka yang dianggap tidak penting atau tidak dihargai.
Pada masa ini, StandUp Malaysia mempromosikan perjuangan mereka melalui pelbagai platform media sosial.
www.standupmalaysia.org
Asian-Pacific Resources & Research for Women (Arrow)
Ditubuhkan pada 1993, NGO yang berpusat di Kuala Lumpur itu menekankan dan memastikan kepentingan wanita dalam merealisasikan kesihatan dan hak reproduktif mereka.
Pada masa ini, Arrow memimpin Gender Action dan Climate Champions Academy iaitu sebuah platform webinar di mana peserta berpeluang berinteraksi dengan pakar isu gender dan perubahan iklim.
Tahun ini, Arrow adalah salah satu penganjur Forum Pembangunan Mampan Asia-Pasifik Youth Forum yang merupakan forum untuk golongan muda bawah 30 tahun membincangkan isu-isu pembangunan mampan.
www.arrow.org.my
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram