Pernah dituduh lemah, emosi tak stabil, kini makin ramai wanita terlibat ekspedisi gunung ekstrem


Enam wanita diketuai oleh Hoeman membuktikan kemampuan mereka dalam pendakian puncak gunung tertinggi di Amerika Utara. — Abrams Press

DOKTOR dan pendaki gunung dari Alaska, Grace Hoeman mengetuai pasukan wanita pertama yang cuba untuk mendaki puncak tertinggi di Amerika Utara, Denali pada 1970.

Ketika itu, ramai yang beranggapan bahawa wanita tidak mampu mendaki gunung tanpa bantuan lelaki. 

Ungkapan manusia sudah menghantar lelaki ke bulan, tetapi wanita masih belum berdiri di puncak tertinggi di bumi, menjadikan idea berani Hoeman semakin luar biasa.

Namun ketika Hoeman mencadangkan idea pendakian di Denali, beliau sebenarnya bukanlah pendaki wanita pertama, sebaliknya wanita sudah mendaki gunung dan meneroka kawasan kutub selama beberapa dekad lalu.

BACA LAGI: Sibuk urus 2 kerja tak halang Zarina cipta nama jadi pendaki wanita tunggal tawan gunung lebih 6,000 meter

BACA LAGI: Status malim gunung bukan hak lelaki, Eima terus gali ilmu walau lebih 20 tahun pengalaman keluar masuk hutan

Sebelum abad ke-20, wanita berasal dari Amerika Syarikat (AS), Josephine Peary telah menjelajah Artik bersama suaminya, Robert Peary, seorang peneroka Kutub Utara. 

Pada masa sama, Elizabeth Le Blond, seorang pendaki gunung dari Ireland menggemparkan masyarakat ketika itu apabila mendaki di Alps tanpa susuk suami. 

Tulis Le Blond, faktor menyebabkan tidak ramai wanita mendaki pada zaman itu adalah kerana ia akan menjadi sesuatu yang mengejutkan untuk mereka tidur di pondok atau bivouac (tempat berlindung sementara) jika tidak memiliki teman seperti bapa, abang atau saudara perempuan.

Margaret Young ketika pendakiannya di puncak Gunung Denali. — Abrams Press

Kekurangan pakaian mendaki yang sesuai juga menjadi antara sebab tidak ramai pendaki wanita ketika itu.

Le Blond sering menanggalkan skirtnya setelah jauh dari pandangan bandar, kampung atau pondok dan mendaki dengan seluar longgar yang dipakai di kaki.

Beliau akan mengambil semula skirt tersebut setelah mendaki selesai. 

Mengenai Denali, hanya dua wanita yang telah berdiri di puncak itu, sebelum Hoeman dan pasukan berusaha mendakinya. 

Pada 1947, Barbara Washburn mendaki gunung tersebut bersama suaminya, Bradford Washburn, seorang kartografer, jurugambar dan peneroka pertama yang memetakan Denali dengan lengkap.

Barbara sebenarnya terpaksa dipujuk untuk mendaki kerana pada masa itu, beliau mempunyai tiga anak kecil yang sukar ditinggalkan. 

Namun RKO Radio Pictures, yang membuat dokumentari mengenai pendakian gunung tertarik dengan idea pendaki wanita, lalu menawarkan untuk membayar pengasuh bagi membolehkan Barbara menyertai ekspedisi tersebut.

Selepas 15 tahun, seorang pendaki bernama Anore Bucknell mendaki sisi utara gunung tersebut dengan pasukan terdiri daripada lima lelaki untuk berdiri di puncaknya juga.

Walaupun tidak terkenal, pencapaian awal wanita-wanita awal tersebut masih tercatat dalam rekod sejarah. 

Terdapat ramai lagi wanita yang namanya tidak pernah dimasukkan dalam sejarah kolektif dunia kerana peneroka lelaki sering kali tidak menyebut wanita dalam diari ekspedisi mereka jika golongan berkenaan turut serta.

Seperti kebanyakan bidang lain, aktiviti mendaki gunung juga umumnya didominasi lelaki dalam pelbagai aspek.

Apabila seseorang wanita berjaya mendaki gunung, ia bukanlah disebabkan kekuatan atau kemahiran sendiri.

Naratif budaya sering mengaitkan kejayaannya dengan seorang lelaki yang membawa beg, memegang tangan di ketinggian menakutkan atau menolongnya melepasi jurang yang dalam. 

Lapan belas tahun selepas ekspedisi Denali, pendaki terkenal New Zealand, Lydia Bradey menjalani prosedur sterilisasi untuk mengejar kerjaya pendakiannya. 

Margaret Clark ketika berehat di atas tebing. — Abrams Press

Bradey dibesarkan sebagai anak tunggal oleh ibunya. Sejak kecil, beliau diberitahu bahawa menjadi ibu yang baik memerlukan banyak masa dan perhatian. 

Dengan aktiviti pendakiannya yang semakin berkembang, beliau menyedari dirinya tidak memiliki masa untuk diluangkan bersama anak.

Jadi untuk mengelakkan dirinya menjadi seorang ibu yang buruk, Bradey mula membincangkan prosedur sterilisasi dengan doktor pada usia awal 20-an.

Namun beliau dimaklumkan oleh doktor bahawa dirinya masih terlalu muda, tetapi selepas bertemu doktor wanita, beliau berhasil menjalani prosedur tersebut. 

Setahun kemudian pada 1988, pada usia 27 tahun, Bradey menjadi wanita pertama yang mendaki Gunung Everest tanpa oksigen tambahan.

 

Tekanan 

Beberapa ahli ekspedisi Denali 1970, mungkin kesemuanya, merasakan tekanan amat besar untuk berjaya dalam pendakian bersejarah itu.

Tidak sekadar mencapai puncak gunung tertinggi di Amerika Utara, mereka juga berhadapan dengan pandangan sinis daripada komuniti pendaki yang meragui kemampuan wanita. 

Mereka dituduh lemah, tidak stabil secara emosi dan ada yang meragui kesatuan pasukan wanita, dengan khabar angin mengenai pergaduhan yang mungkin memecahkan pasukan.

Namun, wanita-wanita tersebut tidak hanya berjuang untuk membuktikan kemampuan mereka dalam pendakian gunung tinggi, tetapi juga membuktikan bahawa wanita juga ada tempat dalam dunia pendakian gunung ekstrem. 

Jika ada sesiapa yang mampu memenuhi tekanan tersebut, ia adalah enam wanita ini, yang sudah terbiasa dengan dunia lelaki. Grace Hoeman, Arlene Blum, Margaret Clark, Margaret Young, Faye Kerr dan Dana Smith merupakan doktor, ahli kimia, ahli fizik, juruterbang dan ahli geologi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram