
SELEPAS tamat persekolahan, Jeewanthi Adikari bertekad untuk menyambung pelajaran dalam bidang perakaunan. Namun, perjalanan hidupnya berubah setelah mengambil latihan selama tiga bulan di bawah sektor hospitaliti.
Sejak itu, beliau bekerja di pelbagai hotel sepanjang dua dekad. Kini pada usia 42 tahun, beliau merupakan individu bertanggungjawab ke atas resort pertama di Sri Lanka yang dikendalikan dan diuruskan sepenuhnya oleh staf wanita.
Ia adalah cubaan untuk menangani perbezaan jantina dalam sektor pelancongan dikuasai lelaki selepas mengalami krisis ekonomi yang besar.
BACA LAGI: Sektor swasta perlu contohi sektor kerajaan memperkasa wanita dalam kepimpinan — PM Anwar
BACA LAGI: Rumitnya konflik suami isteri, mesti cepat bawa berbincang atau lebih baik teruskan berdiam diri
"Ini adalah tempat wanita boleh menyedari potensi masing-masing. Mereka tidak akan berada dalam kepompong dan boleh keluar untuk meneroka peluang lebih baik."
Adikari menyelia operasi harian Amba Yaalu, sebuah resort terletak di bandar Dambulla yang berfungsi sebagai pintu masuk kebanyakan pelancong ke Sri Lanka.
Sebelum ini kebanyakan wanita Sri Lanka tidak mendapat peluang berkerja dalam industri pelancongan, apatah lagi mempunyai pendapatan tetap dan karier.
Di sebuah negara 52 peratus daripada 22 juta orang adalah wanita, mereka hanya menyumbang kira-kira 10 peratus daripada 200,000 tenaga kerja dalam sektor hospitaliti.
Amba Yaalu pemacu perubahan
Kira-kira 160 kilometer (100 batu) timur laut Colombo, resort terletak di ladang manga itu diuruskan oleh 75 staf wanita untuk bahagian kebun, kerja dapur, membersihkan fasiliti, menyambut tetamu dan pengawal keselamatan terdiri daripada tujuh bekas anggota tentera.
Kemudahan resort ini juga termasuk latihan untuk wanita mengembangkan kemahiran dalam pelbagai bidang hospitaliti.
Resort itu dibuka pada bulan Januari dan dilihat sebagai satu langkah membuka potensi wanita memacu ekonomi pelancongan di negara yang dilanda hutang itu.
Adikari (tengah) mempengerusikan mesyuarat pengurusan dengan kakitangan resort Amba Yaalu di kawasan Kandalama di Dambulla, Sri Lanka.
Idea ini diilhamkan oleh pengusaha hotel berpengalaman, Chandra Wickramasinghe, yang menyifatkan kuasa wanita.
Apatah lagi beliau dan tujuh adik-beradiknya dibesarkan oleh ibu berstatus ibu tunggal.
“Saya tahu apa yang boleh dilakukan oleh wanita-wanita ini. Saya mendapat idea itu dan meletakkan pasukan untuk mengusahakannya.
"Kami mendapat pasukan yang kuat untuk menjalankannya dan ia berfungsi dengan baik,” kata Wickramasinghe, sambil menambah bahawa resort itu secara tidak langsung menjadi platform wanita berkembang maju sebagai pemimpin.
Stigma sosial, halangan bahasa, keseimbangan kerja dan kehidupan, kekurangan kemudahan latihan dan gaji yang rendah telah lama menjauhkan majoriti wanita Sri Lanka daripada industri perhotelan, terutamanya mereka di kawasan luar bandar, kata Suranga Silva, Profesor Ekonomi Pelancongan di Universiti Colombo.
Sebahagian besar daripada ini berpunca daripada struktur patriarki dan peranan jantina tradisional yang tertanam secara mendalam dalam masyarakat Sri Lanka, walaupun ramai wanita telah berjaya dalam bidang politik dan memegang jawatan penting dalam kerajaan.
Lagipun perdana menteri semasa negara pulau itu, Harini Amarasuriya, juga seorang wanita.
"Industri pelancongan tidak boleh diasingkan daripada wanita," kata Silva, sambil menambah bahawa pekerjaan wanita dalam pelancongan Sri Lanka adalah sangat rendah berbanding dengan peringkat global dan serantau.
Juruteknik Sandali Ratnayake membaiki lampu elektrik semasa kerja penyelenggaraan harian di pusat peranginan Amba Yaalu.
Kekurangan profesional wanita
Sektor pelancongan dan hospitaliti Sri Lanka menyumbang dua poin tiga peratus kepada ekonomi negara pada 2023 — turun daripada lima peratus pada 2018 — dan industri itu secara tradisinya merupakan penyumbang pertukaran asing ketiga terbesar negara.
Tetapi kekurangan wanita mahir dan sebahagian daripada mereka meninggalkan pekerjaan selepas berkahwin telah menjadi cabaran yang dihadapi oleh industri sejak pengeboman Ahad Paskah 2019 dan wabak koronavirus.
Kaushalya Batagoda, ceef eksekutif di resort itu berkata, industri menghadapi kekurangan profesional wanita berkhidmat di dapur dan akibatnya, kebanyakan kakitangan diambil adalah pemula yang masih dalam latihan.
"Tetapi, generasi baharu mempunyai semangat untuk bekerja di dapur," katanya sambil menambah bahawa menerima banyak permohonan daripada wanita.
Resort ini telah dipuji oleh aktivis hak wanita yang telah lama mengambil berat tentang pilihan kerjaya terhad untuk wanita di Sri Lanka.
Nawodya, pramugari di pusat peranginan Amba Yaalu melayani tetamu.
Aktivis Sepali Kottegoda berkata, "perusahaan perniagaan sedemikian boleh "membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang selamat untuk wanita."
Silva, profesor, berkata bahawa perubahan dramatik sedang berlaku kerana lebih ramai wanita muda tidak sabar untuk menyertai industri, tetapi mencadangkan kerajaan dan sektor itu mesti bersama-sama menyediakan program latihan untuk wanita meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran mereka.
Di pusat peranginan Amba Yaalu, beberapa kebimbangan ini sedang ditangani.
"Ini semata-mata untuk memperkasakan wanita," kata Adikari.
"Kami menjemput wanita untuk datang dan menyertai kami, lihat sama ada mereka boleh menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam kerjaya, mempertajamkan kapasiti dan kemahiran, seklai gus menyumbang kepada industri." — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram