Hanya RM500, kembara solo ke Sabah saksi keindahan alam, keenakan makanan laut tiada tolok bandingnya


  • Relaks
  • Ahad, 16 Feb 2025

PERNAHKAH anda mendengar ungkapan orang melancong kerana ingin lari daripada kehidupan rutin manakala pengembara pula kerana mahu mencari pengalaman tanpa arah tuju?

Perumpamaan tersebut tidak meletakkan kesalahan kepada mana-mana individu yang ingin ke luar negeri mahupun negara, namun penulis setuju dengan perbezaan antara dua aktiviti tersebut.

Ia berikutan pengalaman penulis sendiri mengembara seorang diri tanpa sebarang perancangan pada suatu ketika dahulu di Sabah.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Panggil semua pemain keluar', apa Aleksandar Cvetkovic buat bikin fans Sri Pahang terharu

BACA LAGI: Lenjan KDN 7 gol tanpa balas, fans samakan Perak persis Liverpool

Walaupun tidak sejauh mana jika hendak dibandingkan dengan individu yang terbang ke luar negara, tetapi pengalaman dan mengembara seorang diri di sana selama empat hari tiga malam ternyata begitu menggamit memori.

Hari pertama

Sampai sahaja di Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA) lebih kurang pukul 8 malam, penempatan adalah perkara utama yang anda perlu cari dengan segera.

Mungkin hotel pilihan yang mudah bagi sesetengah individu namun jika mahukan pengalaman unik, tempat penginapan jenis asrama atau popular dipanggil hostel atau dorm boleh juga menjadi pilihan.

The-Jesselton-Cabin-Sdn-Bhd-Bed-Breakfast-Kota-Kinabalu-Exterior

Salah satu jenis bilik di hostel di Jesselton Cabin.

Ketika itu, penulis memilih bermalam di Hostel Jesselton Cabin yang terletak di sekitar kawasan Jalan Gaya dengan harga RM20 satu malam (bergantung jenis bilik).

Menariknya di sana, anda sebagai pengembara pasti akan berjumpa dengan pengembara lain terutama dari luar negara.

295756336_5245195305535939_5476998932969816546_n

Keadaan ketika sarapan pagi di hostel bersama pengembara negara lain.

Ini adalah peluang anda untuk berkenalan dan mengenali warga asing, selain bertukar pendapat, bercerita tentang budaya negara masing-masing sambil bersarapan di sebuah ruang khas yang disediakan di premis berkenaan.

SaveClip.App_53439427_288986862026991_3561763948782786849_n

Aktivito island hopping akan memberi pengalaman melihat air laut jernih yang luar biasa.

Hari kedua

Pada keesokan hari, selepas mengumpul maklumat, penulis mendapati jarak ke jeti bot Pulau Gaya sekitar 10 hingga 15 minit berjalan kaki dari hostel berkenaan dan tentu sekali ia menarik untuk menjadi aktiviti hari ke-dua.

Pada awalnya tiada dalam perancangan untuk melakukan aktiviti island hopping, namun melihatkan kemeriahan suasana di jeti bot berkenaan, bagaikan terasa rugi pula jika tidak mencuba aktiviti tersebut.

Di sana, terdapat pelbagai pakej yang ditawarkan mengikut bajet anda. Selepas mengambil kira beberapa pakej yang ditawarkan, penulis mengambil pakej berharga RM30 sehari (mengikut harga semasa) di mana bot akan membawa anda melalui Pulau Gaya, Pulau Sapi dan Pulau Manukan.

WhatsApp Image 2025-02-10 at 5.43.19 PM (1)

Pastikan anda menyewa kaca mata selam (google), jaket keselamatan serta fin renang ketika floating di perairian Pulau Manukan.

Digalakkan untuk menyewa bersama kaca mata selam (google), jaket keselamatan serta fin renang dengan menambah RM45 kerana di perhentian terakhir di Pulau Manukan, anda boleh menjalankan aktiviti floating di perairan yang indah itu.

Airnya jernih dan ikan-ikan yang berenang membuatkan anda khayal sebentar di permukaan air.

Semasa tiba di Pulau Manukan, anda juga boleh membersihkan diri kerana tersedia kemudahan surau serta bilik air untuk pengunjung.

Maka, berehatlah sepuas-puasnya di situ kerana bot terakhir yang akan hadir untuk membawa pulang penumpang di setiap pulau ke jeti adalah sekitar pukul 5.30 petang.

Kembali ke jeti, penulis meneruskan pengembaraan ke Kundasang. Kawasannya sejuk, nyaman dan tentu sekali rugi bagi mereka yang berkunjung ke Sabah tetapi tidak menyenaraikannya antara destinasi percutian di Negeri di Bawah Bayu.

Bagi perkhidmatan teksi ke Kundasang, caj yang dikenakan di sekitar kawasan jeti itu mencecah RM200 hingga RM250. Tetapi bagi penulis, ia tidak berbaloi dan bajet akan 'lari' kerana boleh dikatakan agak mahal.

Inanam_Sabah_TerminalBasBandaraya-01

Terminal Bas Inanam.

Jadi penulis mengambil keputusan untuk terus menuju ke Terminal Bas Inanam yang tidak jauh dari jeti dengan menggunakan perkhidmatan e-hailing. Sejurus tiba, didapati perkhidmatan bas bukan sahaja disediakan sehingga Kundasang, malah jika anda mahu ke Ranau sekali pun ada perkhidmatan yang tersedia.

Hari tiket bas ke Kundasang pula hanya RM10 ringgit sahaja, memang murah! Namun perjalanan agak lambat berikutan waktu sudah malam dan jalannya agak berliku-liku.

Mengambil masa lebih kurang 2 jam 30 minit, bas tersebut berhenti di depan hostel yang telah ditempah pada harga RM70 satu malam. Apa lagi sebaik tiba, penulis terus berehat sebelum memikirkan apakah lokasi yang ingin dituju keesokkan hari.

SaveClip.App_54212913_335867813701638_7633131553079919631_n

Pagi yang sunyi, dingin dan nyaman sambil menikmati matahari terbit di sebalik Gunung Kinabalu adalah detik yang sungguh indah.

Hari ketiga

Penulis bangun seawal pukul 5 pagi dan beredar dari hostel tersebut menuju ke pasar Kundasang kerana ingin menikmati matahari terbit di sebalik Gunung Kinabalu.

Sungguh nyaman, sejuk dan amat teruja melihat gunung-ganang ciptaan Tuhan yang begitu indah. Tentu sekali ada tugas penting untuk setiap insan untuk memelihara alam semula jadi sebaik mungkin buat manfaat generasi akan datang.

SaveClip.App_53349993_629719850832800_6147111579484274716_n

Yogurt susu asli lembu adalah satu kepastian buat mereka yang hadir di Dairy Farm, Kundasang.

Setelah menyaksikan terbitnya matahari dan sebelum ke bandar Kota Kinabalu, penulis sempat singgah sebentar ke Dairy Farm untuk menikmati ais krim, dan yogurt yang diperbuat daripada lemak serat susu asli lembu. Memang lazat, jangan beli satu nanti menyesal!

Lokasi yang dikunjungi itu turut membuka peluang kepada pengunjung menjelajah seluruh kawasan ladang untuk melihat bagaimana industri tersebut beroperasi.

Selesai lawatan sekitar Dairy Farm, penulis meneruskan perjalanan ke ibu negeri Sabah menaiki teksi sapu hanya RM40 ringgit dan kembali semula ke Jesselton Cabin.

SaveClip.App_52829591_1180864965426345_2948902283034425030_n

Kesegaran sotong di Sabah sangat enak dan rugi buat mereka yang tidak merasainya.

Tidak sah rasanya jika hadir ke Sabah tanpa menikmati juadah makanan laut. Pada malam terakhir di negeri itu, penulis singgah makan ikan bakar dan pelbagai lagi makanan laut seperti sotong yang segar sebelum pulang pada keesokan harinya.

Memang puas hati menjamah makanan yang begitu segar dengan keenakan yang sukar digambarkan. Jadi apa lagi, kalau ada berkesempatan terbanglah ke Sabah dan nikmati percutian yang pasti tidak akan mengecewakan.

Selesai berkunjung ke beberapa destinasi wajib di Sabah dan setelah membuat kira-kira, perbelanjaan penulis secara purata sebenarnya tidaklah terlalu tinggi (tidak termasuk tiket penerbangan).

Konsep kembara yang dikongsikan oleh penulis ini hanya memakan belanja lebih kurang RM500 sahaja termasuk buah tangan serta makan minum.

Keseronokan dan pengalaman mengenali orang tempatan, pengembaraan luar negara, menerokai kawasan atau pulau tanpa dirancang adalah sesuatu yang sungguh menyeronokkan dan pengalaman yang tidak dapat dijual beli. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram