Fenomena coklat Dubai rupanya tercetus daripada rasa mengidam pengasas


  • Benua
  • Isnin, 10 Mac 2025

Usahawan British-Mesir itu berusaha mencipta sesuatu yang lebih daripada sekadar penyelesaian coklat biasa. — Agensi

HIDANGAN bar coklat tebal, rangup dan penuh isian kini sedang tular di seluruh dunia.

Dikenali dengan isian yang unik seperti pastri filo, kastard vanila atau teh dan biskut, bar coklat tebal itu dihasilkan oleh Fix Dessert Chocolatier (Fiz).

Pengasasnya, Sarah Hamouda berkata, beliau mengambil masa, usaha dan cinta dalam menghasilkan setiap bar.

BACA LAGI: Anak pemandu ambil langkah berani jadi pengeksport coklat global dengan cita rasa buah-buahan tempatan

BACA LAGI: Mahu orang Sabah dapat 'vinyl' pada harga mampu milik, jurutera penyelenggara helikopter buka kedai piring hitam di Kinarut

Wanita berusia 38 tahun itu menetap di Dubai selama sembilan tahun sebelum melancarkan jenama Fix Dessert Chocolatier pada 2021 sebagai perniagaan sampingan.

Terinspirasi oleh keinginan semasa mengandungkan anak kedua, usahawan British-Mesir tersebut berusaha untuk mencipta sesuatu yang lebih daripada sekadar penyelesaian coklat biasa.

“Saya mencari sesuatu yang unik dan memuaskan, sesuatu yang tidak dapat ditemui dalam pencuci mulut biasa.

"Saya mahu mencipta bar coklat menggabungkan pelbagai tekstur dan rasa, yang akhirnya membawa kepada konsep ‘bar berisi ekstra’ yang memberi pengalaman penuh memuaskan," katanya.

 

 

Sesuatu yang bermula sebagai keinginan peribadi akhirnya berkembang menjadi trend tular yang merebak dengan pantas di media sosial.

Dengan reka bentuk luarannya yang artistik dan kaya isian coklat dengan pelbagai tekstur, coklat Fix berjaya menarik perhatian ramai, mengingatkan mereka kepada kenangan manis zaman kanak-kanak.

Bercerita mengenai bar coklat kegemarannya, Sarah melihat bar Knafeh (kunafa) mengingatkan beliau pada kenangan indah zaman kanak-kanak, yang mana ibunya sering membuat pencuci mulut popular tradisional Timur Tengah itu di rumah.

Selain bar Knafeh, beliau turut menggemari bar Pick Up A Pretzel.

“Keseimbangan antara rasa manis dan masin serta bunyi rangup yang memuaskan pada setiap gigitan membuatkan saya tidak pernah bosan menikmatinya,” jelasnya sambil tersenyum.

Knafeh (kunafa) mengingatkan Sarah pada kenangan indah zaman kanak-kanak. — Agensi

Permintaan seluruh dunia

Permintaan masyarakat dunia terhadap jenama coklat itu ujar Sarah, sungguh luar biasa.

Bermula daripada angka satu digit, kini syarikatnya menerima lebih 500 tempahan setiap hari.

“Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir ini akan menjadi fenomena global,” katanya yang turut menerima mesej dan respons video daripada pelanggan pelbagai negara termasuk Kanada, Argentina dan Romania.

Sajian tersebut menjadi tular apabila pempengaruh makanan TikTok, Maria Vehera memuat naik video dirinya menikmati bar tersebut dalam keretanya, yang kini telah ditonton lebih daripada 100 juta kali.

Versi asli hanya tersedia untuk pelanggan tempatan dalam kuantiti terhad, tetapi trend tersebut telah membawa kepada letupan versi tiruan coklat berkenaan di seluruh dunia.

Sejak itu, syarikat milik Sarah dan rakan perniagaannya, cef Filipino Nouel Catis Omamalin telah berkembang pesat, bermula dengan mengendalikan perniagaan dari rumah bersama suaminya, kepada pasukan yang lebih besar.

Sebagai jenama yang semakin dikenali, Fix Dessert Chocolatier kini mempunyai rancangan untuk terus berkembang dan mencipta lebih banyak pengalaman unik untuk penggemarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram