Anak sumber kekuatan, enggan kalah Michelle bangkit cipta snek artisanal Kintry, kini tembus pasaran luar negara


  • Bizz
  • Jumaat, 14 Mac 2025

Michelle memulakan jualan hidangan makanan ringan dari rumah pada 2018.

PADA 2018, Michelle Chai menghabiskan waktu lewat malam di dapur apartmen dengan membuat biskut, kerepek kentang dan granola semasa anak kecilnya sedang tidur.

Ketika itu, beliau perlu menutup rapat pintu bilik anaknya kerana anak perempuannya itu mempunyai alahan kuat terhadap telur dan kacang.

"Keesokan paginya, saya akan pergi ke pasar atau bazar untuk menjual," katanya.

BACA LAGI: Pesanan TMJ jadi azimat, Kopi Rakyat bawa anak kelahiran Kuantan dari jalanan ke pusat beli-belah

BACA LAGI: Status agama dipersoal lepas peluk Islam, ketekalan Mohd. Chan terbalas perniagaan rangkaian restoran terus berkembang cecah 2 dekad

Semasa memulakan perniagaan makanan dari rumahnya yang dikenali dengan nama Kintry, Michelle baru sahaja melalui detik sukar dalam kehidupan peribadi.

Namun, enggan kekal dalam keadaan sedih, beliau memberikan tenaganya dalam usaha baharu.

Hari ini, Kintry mengeksport produk ke pasaran serantau seperti Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura. — Kintry

"Saya benar-benar ingin menunjukkan kepada anak perempuan yang berusia dua setengah tahun pada masa itu bahawa tidak kira apa kesukaran dilalui, kita masih boleh membina sesuatu dengan kehidupan kita," kongsinya.

Beliau mendedahkan bahawa nama Kintry, merupakan gabungan perkataan kindred (keluarga) dan pantry (bengkel), dipilih bersama anak perempuannya.

Dalam pada itu, fakta bahawa Kintry yang terdengar seperti perkataan Kantonis, membawa maksud ketabahan menjadikannya pilihan sangat tepat.

Cipta hidangan penuh kenangan

Perniagaan Michelle pada mulanya beroperasi dengan membakar kek cawan untuk kafe.

Bagaimanapun, beralih kepada menghasilkan barangan bungkusan yang lebih menjanjikan pulangan kewangan daripada aspek perniagaan kerana jangka hayat produk lebih lama.

Apabila minat terhadap makanan ringan artisanal semakin meningkat, beliau mengambil peluang untuk mengembangkan syarikatnya dengan membuat pelaburan membeli mesin dan lot kedai untuk operasi.

Jenama itu kemudiannya tidak mengambil masa lama untuk mula mencipta nama di pasaran komuniti, pameran tempatan dan bazar.

Tidak cukup dengan itu, ia mula mencari jalan untuk masuk ke rak peruncit di seluruh negara.

Hari ini, Kintry mengeksport produk ke pasaran serantau seperti Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura.

Pengasas itu juga berkongsi syarikat itu baru-baru ini menandatangani perjanjian pajakan untuk sebuah kilang di Subang, Selangor.

Produk Kintry turut boleh didapati di pasaran runcit tempatan. — Kintry

"Matlamatnya bukan untuk menjadi perniagaan antarabangsa yang besar.

“Sasaran awal saya adalah untuk berada di semua pasar raya di Malaysia.

“Kami mencapai matlamat itu selepas beberapa tahun dan menyedari kami boleh pergi lebih jauh. Jadi setiap peristiwa penting mendorong kita ke tahap seterusnya,” ujarnya.

Di sebalik kejayaan tersebut, Michelle berazam untuk mengekalkan nilai asal perniagaannya yang membawa semangat rumah, keluarga dan hubungan manusia yang mendorong permulaan jenama terbabit.

Makanan ringan dibuat dari rumah keluaran Kintry diilhamkan daripada hubungan kekeluargaan dikongsi bersama tersayang.

Sebagai contoh, biskut oat dengan cip coklat dicipta supaya anak perempuannya mempunyai pilihan makanan bebas alergen untuk membolehkannya menikmati hidangan biskut tanpa sebarang kerisauan.

Rangkaian hidangan granola terkenal jenama itu pula lahir daripada permintaan rakannya yang juga peminat kecergasan terhadap hidangan oat gulung, manakala kerepek ubi telur masin pula tercetus daripada kegemaran Michelle terhadap ketam telur masin.

"Jika anda melihat pada pembungkusan empat produk pertama kami, ia menunjukkan ilustrasi keluarga dan saya bersama-sama dalam latar berbeza, diambil daripada gambar keluarga saya.

"Bagi saya, jenama ini adalah mengenai mempamerkan kasih sayang dan kenangan bersama yang berlaku semasa menikmati makanan ringan bersama-sama," ujarnya.

Langkah seterusnya Kintry

Setiap produk dihasilkan Kintry mempunyai sentuhan pengalaman peribadi yang begitu dekat dengan pengguna. — Kintry

Menurut Michelle, produk Kintry, dibuat dengan bahan semula jadi premium dan tanpa bahan tambahan tiruan, bertujuan untuk memperkenalkan alternatif lebih baik untuk pengguna bagi bijirin bergula.

"Kebanyakan pengguna di sini tidak begitu mengenali makanan kesihatan seperti muesli, jadi kami mahu merapatkan jurang itu dengan hidangan enak tetapi juga mempunyai ramuan lebih baik," katanya.

Walaupun pilihan jenama itu menampilkan perisa inspirasi tempatan seperti pandan gula Melaka dan kuning telur masin, beliau menyatakan produk dihasilkan agak serba boleh dan mudah diterjemahkan ke pasaran luar negara.

Makanan ringan artisanal juga telah terbukti memberi imej yang baik kepada perkhidmatan makanan dan perkongsian jenama merentasi pelbagai industri.

Kintry terutamanya membekalkan granola quinoa madunya kepada francais yogurt beku Sepanyol llaoIIao sebagai pilihan topping untuk pencuci mulut berais.

“Kami amat berbangga, terutamanya sebagai jenama Malaysia, kerana logo kami dipaparkan bersama jenama antarabangsa dalam hidangan mereka,” katanya.

Satu lagi kejayaan yang membanggakan bagi Michelle adalah apabila syarikat itu bekerjasama dengan jenama pakaian Jepun, Uniqlo untuk mencipta kotak hadiah pelengkap bertema Raya yang menampilkan produk Kintry pada 2023.

Selain itu, makanan ringan Kintry juga boleh didapati di bilik tetamu hotel utama di Malaysia dan di kabin kelas perniagaan Malaysian Airlines.

Michelle berkata, tahun ini menyaksikan syarikat itu lebih cenderung kepada perniagaan perkhidmatan makanan dan industri hotel, membangunkan tawaran baharu, dan menumpukan perhatian terhadap peningkatan eksport.

Beliau mendedahkan bahawa pasukan itu turut sedang meneroka potensi pasaran seperti Korea Selatan dan China.

"Kami mahu dapat membawa jenama Malaysia keluar ke dunia yang lebih luas," katanya.

Michelle turut merupakan penyokong kuat untuk kerjasama dan perkongsian antara jenama tempatan serta yakin kerjasama dan inovasi bersama bakal membentuk serta memupuk persekitaran perniagaan lebih pesat.

"Visi kami berkisar pada komuniti, pengedaran dan pertumbuhan keusahawanan.

“Kami sentiasa mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan perniagaan tempatan, yang akan membolehkan kami berkembang bersama dan memupuk ekosistem yang memperkasakan usahawan mikro dalam industri makanan dan barangan pengguna,” jelasnya. — The Star/NICOLE CHEW

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram