Semerbak bau cempedak madu goreng coklat, juadah Bazar Ramadan TTDI tak pernah mengecewakan


  • Relaks
  • Selasa, 04 Mac 2025

Penggunjung pelbagai lapisan masyarakat tidak melepaskan peluang membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan TTDI, Kuala Lumpur.

BAZAR Ramadan menjadi lokasi wajib dikunjungi rakyat Malaysia untuk membeli juadah berbuka puasa pilihan.

Daripada hidangan utama seperti nasi, mi ataupun pasta hinggalah kuih-muih, manisan moden dan minuman semuanya ada ditawarkan di bazar Ramadan.

Bercakap mengenai bazar yang dianggap syurga makanan, team Majoriti melakukan tinjauan secara langsung (Facebook) di Bazar Ramadan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur pada Isnin.

BACA LAGI: Teknologi realiti maya (VR) redakan 'anxiety' pesakit berumur, khususnya untuk pembedahan jantung terbuka

BACA LAGI: Peluang jadi bintang K-pop seperti Yoona Girls' Generation, SM Entertainment buka akademi di Singapura

Sambutan pengunjung di bazar berkenaan cukup mengalakkan terdiri daripada pelbagai bangsa, peringkat umur dan latar belakang. Masing-masing sanggup beratur dan bersabar menanti juadah pilihan disediakan.

Justeru, di sini kami kongsikan tiga juadah menarik pilihan Majoriti:

Gerai itik panggang antara menjadi tumpuan pengunjung di Bazar Ramadan TTDI.

Itik kam heong

Sepanjang laluan di bazar tersebut hanya terdapat sebuah gerai menyediakan hidangan itik.

Gerai jualan tersebut menawarkan itik panggang dalam beberapa potongan seperti suku, separuh dan seekor atau pakej bersama nasi.

Itik kam heong masakan autentik popular kaum Cina antara dijual di Bazar Ramadan TTDI.

Menariknya, sajian itik dimasak ala masakan autentik popular kaum Cina iaitu kam heong yang kaya rasa manis manis masakan. Kelazatannya terasa apabila dinikmati bersama nasi istimewa.

Cempedak madu goreng bersalut coklat digemari pelbagai lapisan masyarakat.

Cempedak goreng coklat

Jika sebelum ini sebahagian besar individu biasa membeli pisang goreng bersalut coklat dengan taburan keju, namun di Bazar Ramadan TTDI anda berpeluang menikmati cempedak goreng bersama coklat.

Cempedak madu yang digoreng panas-panas sehingga mengeluarkan aroma memikat selera.

Cempedak madu digoreng panas-panas di gerai pantas menarik perhatian ramai pelanggan, apatah lagi aromanya yang menyelerakan.

Selepas digoreng, coklat susu akan dituang di atas cempedak madu berkenaan. Mungkin kedengaran janggal, tetapi kombinasi itu menyuntik tekstur rasa yang lazat..

Gabungan rasa manis buah cempedak disulami lemak coklat menjadikan ia juadah unik dan patut dicuba!

Gerai jualan menjual satar ikan dan pepes ayam makanan tradisional Terengganu.

Sajian tradisional Terengganu

Satu lagi menu berbuka puasa wajib dibeli di Bazar Ramadan TTDI ialah satar ikan dan pepes ayam. Makanan tradisional Terengganu itu dibakar panas-panas bagi memberikan rasa berjus terutamanya pada satar ikan.

Rugi rasanya jika hanya membeli satu cucuk sajian yang sesuai dijadikan sebagai pembuka selera itu.

Pun demikian, tatkala mengunjungi bazar Ramadan pastikan anda mengawal nafsu membeli-belah dan jimat berbelanja bagi mengelakkan pembaziran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram