Anak pemandu ambil langkah berani jadi pengeksport coklat global dengan cita rasa buah-buahan tempatan


  • Bizz
  • Ahad, 29 Dis 2024

Aslinah sentiasa pameran perdagangan untuk mempelajari trend baharu dalam pasaran.

KETIKA mengasaskan Azaib Holdings (Azaib), Aslinah Aslam baru berusia 25 tahun.

Disebabkan umur terlalu muda, dia sering kali menerima pandangan penuh sangsi oleh kebanyakan orang yang ditemui.

Tidak cukup dengan itu, ramai antara mereka juga seakan-akan tidak percaya apabila mengetahui bahawa wanita muda itu memulakan syarikat pembuatan coklat tanpa sebarang pengalaman perniagaan.

BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim

BACA LAGI: Mahu orang Sabah dapat 'vinyl' pada harga mampu milik, jurutera penyelenggara helikopter buka kedai piring hitam di Kinarut

Namun kekurangan yang membelenggu dirinya ketika itu dilalui dengan kepercayaan yang digelarnya sebagai semangat 'rempuh'.

“Pada hari-hari awal pembabitan saya dalam bidang perniagaan, jika panggilan telefon dan e-mel tidak berjawab, saya secara peribadi akan hadir ke kaunter penyambut tetamu bersama dengan sampel produk dan profil syarikat saya.

"Dalam perniagaan, anda mesti sentiasa membuat pertanyaan susulan, terus menongkah dan merempuh (melakukan jualan secara agresif) sehingga anda berjaya!” ujarnya.

Sikap tidak pernah berkata tidak itu telah mendorong pertumbuhan syarikatnya daripada hanya bermula di rumah kepada pemain antarabangsa dalam masa kurang dari satu dekad.

Azaib kini berjaya mengukir jenama tersendiri sebagai pengeluar coklat kering sejuk Belgium unik bersalut buah-buahan tropika.

Perjalanan Aslinah dalam bidang perniagaan pada awalnya dicetuskan menerusi projek hujung minggu membantu rakannya yang juga usahawan.

Dia yang ketika itu bekerja sebagai pegawai bank mendapati pengalaman bertemu dengan ramai orang sebagai sesuatu yang menarik dan sama sekali berbeza daripada hanya duduk di pejabat untuk memproses dokumen.

"Saya berkata kepada diri sendiri, suatu hari nanti, saya juga akan menjadi seorang usahawan," kongsinya.

Apabila majikannya menawarkan Skim Penamatan Sukarela pada 2009, Aslinah melihat ia sebagai peluang untuk melaksanakan hajatnya.

"Saya fikir pakej pemecatan yang berguna sebagai modal permulaan untuk usaha niaga saya tidak kira apa yang berlaku," katanya.

Learning from others: Aslinah participates in trade shows to learn new trends in the market.

Aslinah (dua dari kanan) ketika menyertai pameran perdagangan antarabangsa.

Semasa meninjau peluang yang wujud buat dirinya, dia kemudian mendapat tahu mengenai maklumat ada peruncit bebas cukai lapangan terbang, Eraman sedang mencari pembekal coklat tempatan untuk mempamerkan jenama Malaysia bersama jenama import mereka.

Untuk rekod, Aslinah terdahulu sememangnya terkenal dalam kalangan keluarga terdekat dan rakan-rakan sebagai seorang pembuat roti yang mahir termasuk coklat.

Selepas melakukan tinjauan pasaran, dia membuat proses sumbang saran untuk mencari cara membezakan produknya daripada coklat sedia ada ditawarkan dalam pasaran.

Dalam saingan untuk dipilih bagi pameran jualan tersebut, set coklat kacang disaluti karamel atau praline dijual di bawah jenama Malsa terpilih dan memenangi tempahan awal bernilai RM40,000.

Dengan kejayaan awal itu, Aslinah memerlukan kemudahan pengeluaran sesuai selain daripada melakukannya di dapur rumah keluarganya.

Dia seterusnya mendapat nasihat daripada kenalannya untuk merujuk kepada Lembaga Koko Kebangsaan, yang mempunyai program inkubator membantu usahawan coklat baru berkembang.

Selepas itu, Aslinah meneruskan usaha dengan menyewa kemudahan terletak di Nilai, Negeri Sembilan yang menyebabkan dia perlu menempuh jarak perjalanan agak jauh dari rumahnya.

Premis tersebut menyediakan perkhidmatan percubaan pembangunan produk untuk tujuan pra-pengkomersialan.

“Memandangkan kami hanya boleh menggunakan kemudahan dari pukul 8 pagi hingga 5 petang, saya terpaksa keluar dari rumah pada pukul 5.30 pagi supaya saya dapat memaksimumkan masa saya. Kalau saya lambat, rugi.

"Kami melakukan pengeluaran secepat mungkin. Makan tengah hari juga cepat-cepat, hanya 10 minit hingga 15 minit secara bergilir-gilir,” kongsinya.

Dia juga menyewa kilang rakannya yang mempunyai mesin berbeza.

“Kilang rakan saya boleh menghasilkan coklat praline, coklat berbentuk hati dan berbentuk bunga, manakala kemudahan Nilai mempunyai mesin lebih besar yang boleh menghasilkan coklat berbentuk bulat dalam jumlah lebih tinggi,” ujarnya.

Di sebalik kekangan waktu dihadapi, Aslinah tetap mencari masa untuk melancong ke Belgium untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Saya tahu saya perlu meningkatkan kemahiran saya dan terus menambah baik resipi saya. Apakah cara yang lebih baik daripada melawat dan belajar dari kilang terkemuka di negara ini yang sinonim dengan coklat berkualiti?” soalnya.

Fokus berterusannya untuk mencapai kesempurnaan membuahkan hasil pada 2012, apabila pelanggan membeli produknya dari rak daripada Cold Storage.

Pelanggan terbabit yang juga seorang peniaga antarabangsa begitu kagum terhadap kualiti coklatnya sehingga dia mencari Aslinah dan menawarkan peluang untuk membekalkannya produk tersebut ke China.

Peluang itu menjadi tapak pertama untuk Aslinah mendapat tempahan pertamanya di luar negara yang bernilai sebanyak RM150,000.

Tiada kejayaan tanpa keberanian

Walaupun nasib memainkan peranan dalam pengembangan syarikat, faktor penentu dalam kisah Azaib adalah menerusi inisiatif dilaksanakan pengasasnya.

Aslinah mengimbas kembali waktu semasa dia mendapat tempat dalam program usahawan wanita Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

“Saya bukan siapa-siapa ketika itu. Tetapi apabila saya ternampak Ketua Pegawai Eksekutif agensi itu di kantin, saya dengan beraninya menghampirinya dan memberitahunya bahawa saya seorang PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) yang sedang berkembang dan baru memasuki pasaran China serta memerlukan sokongan untuk berkembang.

"Saya memberitahu yang saya telah memohon untuk program usahawan wanita, bolehkah anda melihatnya?'” kongsinya.

Keberaniannya untuk mengetepikan rasa malu itu membuahkan hasil yang tidak ternilai.

“Program ini memberi kami peluang menghadiri pameran perdagangan antarabangsa, yang mana kami belajar tentang harga, pensampelan, pemasaran, standard kualiti, kemahiran rundingan, pasaran sedang meningkat dan apakah perkara besar seterusnya.

"Saya mendapati pembelajaran itu amat berharga sehinggakan walaupun selepas program itu, saya memperuntukkan sebahagian daripada belanjawan tahunan saya untuk menyertai pameran perdagangan kerana saya percaya pelaburan itu berbaloi,” katanya.

Penyertaan Aslinah dalam pameran perdagangan di Thailand pada 2012 membawanya kepada penciptaan produk terasnya.

Dia menyedari bahawa masyarakat Thailand mempromosikan buah-buahan tempatan mereka secara agresif dan itu menimbulkan idea kepadanya untuk memasukkan buah-buahan tropika ke dalam produk coklat.

smebiz interview Aslinah Aslam with chocolate maker.

Kemudahan dua buah kilang dapat menghasilkan 2 tan produk coklat setiap bulan.

Tambahan pula, visi itu dikuatkan lagi dengan status Malaysia sebagai antara pengeluar banyak buah-buahan lazat yang akan melengkapkan rasa coklat.

Lebih penting lagi, inovasi berkenaan sekali gus memberikan peluang untuk jenamanya mempunyai nilai jualan unik untuk menonjol dalam landskap pasaran coklat yang kompetitif.

Namun malangnya, dia kemudiannya berdepan satu lagi halangan.

Ini kerana teknologi pengeringan beku komersial belum lagi tersedia secara meluas di Malaysia dan membeli mesin berharga lebih RM1 juta, bukan satu pilihan yang boleh dijadikan sebagai sandaran.

Jika dia mahu meneruskan rancangannya, dia perlu mendapatkan buah-buahan kering beku dari luar Malaysia.

"Saya tidak gembira mengenainya tetapi saya terpaksa bertindak atas peluang itu sementara saya mempunyai kelebihan sebagai perintis," akuinya.

Syarikat Azaib kemudian menghantar kumpulan pertama produk buah-buahan berbalut coklat pada 2012 menggunakan buah-buahan kering beku diimport.

Setahun kemudian, Aslinah menerima tempahan besar dari China untuk durian kering beku.

Mujur pada masa itu, dia juga telah menemui sebuah syarikat tempatan dengan kemudahan pengeringan beku.

“Ia adalah satu peluang yang belum dipetakan, tetapi saya fikir risiko itu patut diambil kerana buah-buahan kering beku boleh digunakan untuk coklat kami juga.

"Saya teruja kerana saya kini mempunyai peluang di depan mata untuk menyokong petani tempatan,” katanya.

Dengan bantuan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, dia bekerjasama dengan sebuah ladang di Pahang yang membekalkannya dengan buah-buahan segar, yang kemudiannya dikering dan disalut dengan coklat di premisnya.

Sejak pesanan awal itu pada 2013, buah-buahan kering beku telah bertukar menjadi barisan produk perniagaan sekunder yang menguntungkan.

Aslinah akhirnya mampu membeli mesin pengering beku sendiri pada 2017, apabila menerima tempahan melebihi RM80,000 sebulan.

Azaib kini beroperasi daripada dua kemudahan yang dipajak dengan satunya di Kimar, Batu Caves, Selangor yang berfungsi sebagai ibu pejabat dan tempat mentega koko dicairkan sebelum disalut di sekeliling inti serta dimasukkan ke dalam bekas.

Kemudahan kedua iaitu kilang di Sungai Buloh memberi tumpuan kepada pengeringan beku buah-buahan untuk produk dalaman dan untuk pelanggan pengeluar peralatan asli (OEM).

Kewujudan kedua-dua premis kemudahan itu membolehkan syarikatnya menghasilkan sebanyak dua tan produk coklat setiap bulan.

Eksport turut menyumbang 80 peratus daripada pendapatan Azaib, dengan China dan Singapura membentuk pasaran utamanya diikuti oleh Timur Tengah dan ASEAN.

Walaupun prospek luar negara cerah, Aslinah berminat untuk meluaskan pengedaran tempatan produknya melangkaui peruncit mewah.

“Dari satu segi, pasaran luar negara lebih mudah kerana urus niaga adalah secara tunai. Apa yang anda perlu risau ialah menghantar barangan anda ke lokasi.

“Pasaran tempatan melibatkan aktiviti kompleks seperti penjenamaan, pemasaran dan pembinaan rangkaian.

"Mendapatkan rakan kongsi yang boleh dipercayai adalah penting kerana mengurus pasaran tempatan adalah permainan bola yang berbeza sama sekali,” ujarnya.

Sementara itu, Aslinah turut tidak lupa memberikan penghargaan terhadap kedua ibu bapanya yang disifatkan sebagai kekuatan terbesarnya.

Dia turut memuji bapanya yang bertugas sebagai pemandu kerana menanam nilai ketekunan sementara ibunya, seorang suri rumah, kerana mendidiknya tentang kebijaksanaan kewangan.

“Orang ramai hairan bagaimana ibu bapa saya boleh menghantar semua anak mereka ke kolej dan membeli rumah dua tingkat dengan gaji pemandu.

"Ibu adalah pakar kewangan, sentiasa mengingatkan kami untuk menyimpan wang, mengelakkan hutang dan melabur dalam aset.

"Kadang-kadang, dia akan makan lebihan makanan kami untuk mengelakkan pembaziran,” katanya.

Nama syarikatnya, Azaib, juga adalah terdiri daripada nama ibunya dan juga nama bapanya yang dieja secara terbalik sebagai satu penghormatan terhadap kedua-dua orang tuanya.

“Saya menjadi saya kerana mereka. Sedikit sebanyak yang saya boleh lakukan untuk menunjukkan rasa terima kasih saya,” ujarnya. — The Star/ALEXANDRA WONG

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram