Mahu orang Sabah dapat 'vinyl' pada harga mampu milik, jurutera penyelenggara helikopter buka kedai piring hitam di Kinarut


  • Bizz
  • Jumaat, 13 Dis 2024

Willie (gambar kiri) memulakan Kinarut Record Station bermula pada 2023. — Rentak Sejuta

BERADA kira-kira 20 kilometer di selatan Kota Kinabalu, Kinarut merupakan sebuah pekan kecil lama terkenal dengan sejarahnya, termasuk menjadi tempat perhentian kereta api di Laluan Barat Sabah.

Tidak jauh daripada Stesen Kereta Api Kinarut adalah terletaknya sebuah kedai muzik yang menjual ratusan koleksi piring hitam dikenali sebagai Kinarut Record Station.

Kedai ini yang diusahakan seorang jurutera penyelenggara helikopter berlesen menawarkan pelbagai pilihan muzik dalam format fizikal bermula daripada artis arus perdana dan mandiri.

Selain itu, pilihan genre muzik dipamerkan juga pelbagai meliputi pop, city pop, jazz, blues, funk dan disco.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Kedai ini yang beroperasi sejak 2023 di bangunan kedai dibina British dan berusia lebih 100 tahun turut menawarkan jualan kopi segar mengekalkan suasana nostalgia sekali gus mengingatkan pengunjung kepada era kegemilangan muzik analog.

468509534_1199946952135729_5042990986577961328_n

Pintu hadapan Kinarut Record Station. — Rentak Sejuta

Lokasinya di pekan lama Kinarut menambah daya tarikan, membolehkan pengunjung menikmati keindahan warisan tempatan sambil menerokai koleksi muzik ditawarkan.

Berkongsi kepada Majoriti, Willie, 36, berkata, idea untuk memulakan kedai itu tercetus selepas melihat kesukaran dihadapi penggemar muzik di kawasan tersebut untuk mendapatkan rakaman dalam format fizikal.

Dia yang juga seorang pencinta muzik sejak remaja berkata, ini kerana mereka perlu mengeluarkan kos yang agak tinggi khususnya daripada segi penghantaran logistik.

"Jadi kos logistik memang mahal. Dengan buka kedai muzik ini, saya cuba untuk sediakan satu mekanisme perkongsian penghantaran agar piring hitam ini boleh didapati pada harga mampu milik terutamanya untuk orang Sabah," katanya yang juga bekerja sebagai jurutera penyelenggaraan helikopter berlesen.

Menurutnya, lokasi itu dipilih selepas ia diperkenalkan seorang rakan.

Ujarnya, Kinarut Record Station bermula dengan ruang seluas 12 meter persegi.

Willie berkata, pada masa ini, kedainya mempunyai koleksi sebanyak hampir 700 piring hitam dan beroperasi sepenuhnya secara fizikal.

Kinarut Record Station turut menjalankan kolaborasi bersama beberapa label daripada Indonesia antaranya PHR dan La La Records and Lamunai Records.

468707265_1199949915468766_3765617695283620859_n

Antara koleksi piring hitam yang dijual di Kinarut Record Station. — Rentak Sejuta

"Kalau kita jual secara dalam talian, kita tidak akan tahu siapa pembeli. Kita tidak tahu apa respons orang itu terhadap rakaman yang mereka beli.

"Tapi kalau kita ada pelanggan yang hadir secara fizikal di kedai, mereka boleh jumpa dan bercerita pandangan mereka mengenai muzik yang dipilih.

"Jadi kita tahu reaksi mereka," katanya.

Bagaimanapun, Willie tidak menolak kemungkinan sekiranya akan turut mula membuat jualan secara dalam talian sekiranya terdapat permintaan khususnya daripada pengguna di kawasan Timur Sabah.

Sementara itu, selepas setahun beroperasi, Willie mengakui jualannya menerima sambutan yang cukup positif daripada penduduk sekitar.

Ujarnya, jumlah pengunjung juga semakin bertambah selepas kedainya mendapat perhatian sebuah halaman muzik di Facebok, Rentak Sejuta: Southeast Asia's #1 Music & Performing Arts News Site (Rentak Sejuta) baru-baru ini.

Willie berkata, pelanggan yang hadir ke kedainya juga mempunyai ciri yang unik.

"Biasanya kami akan terima pelanggan yang ramai waktu hujung minggu pertama setiap bulan.

"Tapi lepas kedai kami tular di Facebook, boleh dikatakan hari-hari ada orang datang.

"Yang berkunjung ini ada yang memang mencari piring hitam. Ada juga yang datang sebab nak minum kopi," ujarnya.

Willie berkata, pada waktu ini, dia boleh menjual sekitar tiga hingga empat piring hitam setiap minggu.

468916254_1199951708801920_2152534390347030609_n

Lokasi Kinarut Record Station yang terletak di Pekan Kinarut Lama, Papar, Sabah. — Rentak Sejuta

Ujarnya, rakaman muzik format fizikal yang dijual di kedainya dijual pada harga antara RM30 hingga RM600.

"Kami cuba sedaya upaya untuk pastikan harga barangan yang kami jual adalah mampu milik. Kami tidak mahu syok sendiri.

"Sebabnya kuasa beli di Sabah ini tidak sama seperti di Kuala Lumpur yang meriah.

"Jadi kalau boleh kami nak kongsikan minat terhadap format fizikal ini kepada semua orang khususnya generasi baharu," ujarnya.

Pada masa sama, Willie mengakui bahawa menguruskan perniagaan kedai muzik di bandar lama seperti Kinarut yang sememangnya menghadirkan cabaran tersendiri.

468705388_1199950075468750_497020473306409612_n

Kinarut Record Station turut menyediakan jualan kopi di premisnya. — Rentak Sejuta

Ujarnya, selain penerimaan penduduk setempat, operasinya juga berdepan dengan isu infrastruktur seperti masalah banjir.

"Selain isu logistik, memang ada cabaran daripada segi budaya. Sebabnya banyak penduduk setempat yang sebenarnya tertanya-tanya tempat apa yang kami buat ini.

"Jadi bila mereka datang, kami akan jelaskan apa yang kami buat. Kemudian daripada segi cuaca pun ada cabaran.

"Ini kerana kawasan Kinarut ini agak terdedah kepada risiko banjir. Setiap kali banjir sahaja mesti air akan masuk kedai," ujarnya.

Bergerak ke hadapan, Willie berharap agar Kinarut Record Station dapat berkolaborasi bersama lebih banyak kedai muzik dan label rakaman tempatan di samping kerjasama dengan kumpulan muzik tempatan untuk memasarkan rakaman mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram