'Saya bukan jenis ibu akan memaksa anak jadi doktor atau peguam,' Fazura sokong cita-cita Fatima, tak galak dunia hiburan


  • Hiburan
  • Rabu, 05 Mac 2025

Tahun ini merupakan tahun pertama Fazura menyambut Ramadan sebagai ibu tunggal, namun kehidupannya kekal ceria disamping permata hati, Fatima.

PELAKON dan usahawan terkenal, Nur Fazura atau nama komersialnya Fazura, berkongsi kegembiraan apabila anak perempuannya, Nur Fatima Aisya, kini semakin memahami konsep berpuasa dan teruja mencuba separuh hari pada Ramadan kali ini.

Menurut Fazura, meskipun tahun ini merupakan Ramadan pertamanya sebagai ibu tunggal, rutin harian tidak banyak berubah kerana sejak dahulu beliau banyak menguruskan anaknya sendiri.

"Sejujurnya, tiada banyak perbezaan. Sebelum ini pun memang saya yang menguruskan Fatima sepenuhnya.

"Kalau sahur sebelum ini, kami bergilir menjaga anak, tetapi kini saya bergilir dengan pembantu. Yang pasti, Fatima sangat teruja menyambut Ramadan tahun ini," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: 'Syukur nasib dapat perhatian PM Anwar', fisioterapis jual daging salai di Kedah demi implan tempurung kepala 'prepare' ucapan khas

BACA LAGI: 'Saling menghormati, jaga perut suami', Anzalna Nasir kongsi rahsia keakraban keluarga menjelang Ramadan

Fazura turut berkongsi pengalaman lucu ketika Ramadan sebelumnya apabila Fatima belum memahami sepenuhnya konsep berpuasa.

"Dulu, waktu siang Fatima selalu cuba suapkan coklat kepada saya dan menyuruh saya minum air. Dia akan berkata, ‘Mummy, water! Mummy, open your mouth!’.

"Tapi tahun ini, Fatima sudah lebih faham. Jadi, dia sendiri bersemangat untuk mencuba berpuasa separuh hari. Kami sangat teruja meraikan Ramadan bersama," katanya mengenang detik manis tersebut.

Cita-cita anak

Selain berkongsi persiapan Ramadan, Fazura turut mendedahkan bahawa Fatima sangat manja dan tidak boleh berjauhan dengannya, malah sering menemaninya ke mana sahaja termasuk ketika bertemu peminat.

"Fatima sangat rapat dengan saya. Kadang-kadang, saya terpaksa meminta maaf kepada peminat kerana dia mahu ikut serta dalam sesi bergambar," katanya.

Fazura bersyukur Fatima sudah memahami erti berpuasa pada Ramadan kali ini.

Namun, Fazura bersyukur kerana dibantu oleh pasukan yang memahami dan memudahkannya dalam menguruskan anak.

"Saya tidak dapat bayangkan bagaimana ibu-ibu di luar sana yang tiada pembantu menguruskan semuanya sendiri.

"Kadang-kadang, selesai sekolah pun Fatima akan telefon bertanya saya di mana kerana mahu datang berjumpa. Dia sangat manja!" katanya.

Ditanya mengenai bakat Fatima yang menunjukkan kecenderungan dalam bidang seni, Fazura tidak menafikan bahawa anaknya mempunyai minat dalam nyanyian, lakonan dan perniagaan.

"Saya akan sentiasa menyokong dan beri kebebasan kepada Fatima memilih apa disukai.

"Saya bukan jenis ibu akan memaksa anak jadi doktor atau peguam. Apa pun pilihannya, saya hanya mahu dia berjaya dunia dan akhirat," jelasnya.

Fatima sering mahu mengikuti ke mana sahaja Fazura pergi. 

Pun begitu, sebagai ibu, Fazura secara jujur berharap agar Fatima tidak memilih dunia hiburan kerana menyedari cabaran yang bakal dihadapi dalam industri tersebut.

"Saya berharap Fatima tidak memilih bidang hiburan kerana ia sangat mencabar. Sebagai seorang ibu, melihat anak terpalit dengan gosip bukanlah sesuatu yang mudah.

"Namun, jika itu yang benar-benar membahagiakannya, saya tetap akan menyokongnya sepenuh hati," katanya.

Untuk rekod, Fazura dan Fattah Amin sah bercerai talak satu pada 7 Oktober 2024 selepas tujuh tahun melayari bahtera perkahwinan.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisya, kini berusia lima tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram