RIBUT petir yang disertai hujan lebat dan angin kencang menyebabkan gangguan besar terhadap jadual penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz dekat Jeddah, Arab Saudi.
Kejadian itu menyebabkan beberapa penerbangan jemaah umrah terpaksa ditunda dan dibatalkan.
Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) mengeluarkan amaran tahap merah bagi beberapa kawasan, termasuk Jeddah berikutan hujan lebat, ribut petir dan angin kuat.
BACA LAGI: Tragedi teman ayah pergi bank, budak 7 tahun maut kena hempap bongkah simen di Melaka
BACA LAGI: [VIDEO] Pekerja kedai makan cedera lengan kanan kena tetak lelaki berparang di Raub
Keadaan cuaca yang serius itu dijangka berterusan sehingga 10 Januari.
Menurut NCM, kelajuan angin mencecah 116.68 kilometer per jam (km/j) di stesen lapangan terbang, menjadikan fenomena itu antara cuaca paling ekstrem pada musim ini.
Difahamkan, Jeddah mengalami kesan paling teruk dengan hujan lebat pada Isnin menyebabkan banjir kilat, angin kencang dan gelombang tinggi melebihi dua meter.
Amaran serupa juga dikeluarkan untuk Makkah, Riyadh dan Al-Baha.
Sementara itu, Lapangan terbang di Riyadh dan Taif juga melaporkan kelewatan penerbangan anggaran 45 minit akibat ribut yang menjejaskan udara di rantau tersebut.
Penumpang dinasihatkan untuk menyemak status penerbangan mereka dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum menuju ke lapangan terbang.
Pihak berkuasa turut mengingatkan para jemaah dan penduduk untuk mengutamakan keselamatan serta mengelakkan kesesakan di tempat ibadah sepanjang tempoh cuaca mencabar ini.
Dalam perkembangan sama, turut tular video memaparkan keadaan angin kencang dipercayai melanda kawasan Arab Saudi sehingga menerbangkan beberapa objek. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram