SEORANG bapa maut selepas motosikal dinaiki bersama anaknya bertembung sebuah motosikal berhadapan simpang masuk Taman Kemboja di Jalan Persiaran Tasik Teratai, Rawang, Selangor pada Isnin.
Kejadian kira-kira pukul 8.50 malam itu menyebabkan nyawa penunggang motosikal berusia 29 tahun itu maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, dua beranak menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC telah bertembung dengan motosikal Modenas yang dinaiki dua remaja lelaki berusia 14 tahun.
BACA LAGI: Punca kematian 4 mangsa terbongkar, sempat ambil dadah sebelum pengsan di konsert Pinkfish
BACA LAGI: Pegawai kanan Bukit Aman mungkin 'microsleep' sebelum rempuh penunggang motosikal di Kuala Selangor
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha 135LC tersebut dalam perjalanan ke Pekan Sentosa dari rumahnya di Bukit Beruntung bertembung dengan motosikal jenis Modenas yang cuba melintas ke simpang Taman Kemboja.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal Yamaha 135LC disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat.
"Sementara anaknya menerima rawatan di hospital sama kerana luka kecil,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Ahmad Faizal, penunggang motosikal Modenas yang mengalami kecederaan di muka dan patah kaki dirawat di Hospital Selayang, manakala pembonceng cedera tapak kaki kanan dirawat di HKKB.
Ujarnya, kedua-dua kenderaan ditahan untuk siasatan lanjut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai diminta untuk menyalurkan maklumat berkaitan kemalangan ini untuk tampil membantu siasatan,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram