[VIDEO] Pekerja kedai makan cedera lengan kanan kena tetak lelaki berparang di Raub


  • 112
  • Khamis, 24 Okt 2024

Tangkap layar seorang lelaki ditetak sekumpulan individu bertopeng yang bersenjatakan parang di sebuah premis perniagaan di Sempalit dekat Raub, Pahang pada Rabu.

SEORANG lelaki cedera selepas ditetak sekumpulan lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang di sebuah premis perniagaan di Sempalit dekat Raub, Pahang pada Rabu.

Difahamkan, mangsa merupakan salah seorang pekerja kedai makanan tersebut dan kejadian itu juga berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai berkenaan.

Menerusi data yang tertera dalam CCTV tersebut, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam.

BACA LAGI: Dari bayangan Bruce Lee ke layar perak, Saiful Zelwany turun ilmu seni pertahan diri buat Syafie Naswip

BACA LAGI: [VIDEO] Kes curi bateri kereta bukan kali pertama, elak parkir kawasan gelap di Batu Caves

Pada waktu kejadian, mangsa dilihat sedang mengemas kedai berkenaan sebelum diserang sekumpulan enam lelaki yang keluar dari sebuah kereta yang diparkir di hadapan kedai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman mengesahkan kejadian terbabit.

Katanya, mangsa yang berusia 28 tahun mengalami kecederaan luka sepanjang enam inci (15 sentimeter) di lengan kanan dan telah menerima rawatan di Hospital Raub.

"Motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis kini giat mengesan kesemua suspek.

“Hasil soal siasat pada mangsa menyatakan dia tiada musuh, tidak mengenali suspek serta tidak tahu motif serangan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau lagi, pihaknya juga akan menjalankan siasatan terhadap pemilik kedai makan terbabit bagi mengenal pasti motif serangan dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

"Individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Raub di talian 09-3552222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram