SEKURANG-KURANGNYA 71 terkorban selepas sebuah trak yang membawa rombongan perkahwinan terjatuh dari Jambatan Gelan di negeri Sidama, Ethiopia, pada Ahad lalu.
Memetik laporan Associated Press dan BBC News, kemalangan itu berlaku apabila trak tersebut gagal melalui jambatan yang terletak di jalan yang panjang dan berliku, sebelum jatuh ke dalam sungai.
Penduduk kampung Serak Boko memberitahu, kedengaran muzik kuat dimainkan dari trak tersebut beberapa minit sebelum kemalangan, dengan beberapa penumpang yang berpakaian kemas dilihat menari dan melambai-lambaikan tangan.
BACA LAGI: Kartel punca utama kos sara hidup meningkat di Malaysia
Kemalangan berlaku apabila trak tersebut gagal melalui jambatan sebelum jatuh ke dalam sungai. — Agensi
Pihak polis tempatan memaklumkan, trak tersebut dipercayai terlebih muatan, menyebabkan ia hilang kawalan semasa melalui jambatan tersebut.
Jurucakap kerajaan wilayah Sidama, Wosenyeleh Simion mengesahkan bahawa 68 lelaki dan tiga wanita antara yang terkorban dalam tragedi berkenaan.
Selain itu, sekurang-kurangnya empat lagi individu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Hospital Umum Bona.
Imej dari lokasi kejadian menunjukkan trak yang remuk terbalik dalam air sungai, sementara puluhan orang awam mengelilinginya.
Beberapa keluarga juga dilaporkan kehilangan beberapa ahli keluarga mereka dalam kejadian tragis tersebut.
Siasatan terhadap kemalangan maut itu sedang dijalankan, sementara kematian akibat kemalangan jalan raya adalah antara yang paling biasa di Ethiopia, menurut laporan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram