DUA lelaki yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka hanyut di perairan Kuala Sungai Pinang, minggu lalu kini selamat tiba di Pulau Pinang pada Isnin (23 Disember).
Sebelum ini, Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, dan rakannya Nor Hasrul Abdullah, 25, diselamatkan oleh nelayan di Acheh, Indonesia.
Menerusi perkongsian Facebook Penang Kini, Ikmal dan Hasrul telah kembali ke Pulau Pinang diiringi Kapal KM Burau Maritim di Jeti Limbongan Batu Maung pada pukul 7.30 pagi Isnin.
BACA LAGI: Penyokong gembira pemergian Luka, sedih Jesper umum aksi terakhir bersama Perak FC
Kepulangan dua lelaki itu disambut oleh orang ramai termasuk pihak Maritim Malaysia bersama beberapa agensi terlibat dalam menguruskan urusan pengambilan balik kedua-dua mangsa di sempadan.
Menurut Ikmal, dia dan Nor Hasrul keluar ke laut pada pukul 3 petang Isnin (16 Disember) dan ketika dia cuba menghidupkan enjin bot, tali enjin bot itu putus menyebabkan enjin tidak dapat berfungsi.
Pada ketika itu, katanya, ombak dan ribut semakin kuat, tetapi dia sempat menghubungi majikannya, yang juga pemilik bot, dan dimaklumkan bahawa bantuan akan dihantar.
"Menjelang tengah malam, tiada bantuan tiba. Pada masa itu, ombak dan ribut semakin kuat dan bot dihanyutkan oleh ombak. Saya kemudian menghubungi keluarga untuk memberitahu tentang kejadian itu dan terus menunggu bantuan.
"Namun, tiada bantuan tiba, walaupun kami menjerit dan menggunakan lampu suluh. Ketika itu, telefon bimbit sudah kehabisan bateri. Kami tidak dapat menghubungi sesiapa untuk meminta bantuan, tetapi tetap percaya kami akan selamat kerana kami masih dapat melihat bukit di Teluk Bahang.
"Pada hari ketiga, bekalan makanan habis dan kami mula makan ikan mentah, menyebabkan kami muntah beberapa kali, tetapi terpaksa makan ikan mentah tersebut. Jika tidak, kami tiada tenaga.
"Ketika itu, kami sudah tidak dapat melihat bukit lagi dan saya serta Hasrul mula bergaduh sehingga beberapa kali terjatuh ke dalam laut. Alhamdulillah, kami memakai jaket keselamatan," katanya kepada pemberita selepas tiba dari Aceh di Jeti Batu Maung, Pulau Pinang pada Isnin.
Muhammad Ikmal berkata, pengalaman pahit mereka berakhir pada hari keenam apabila bot mereka dikesan oleh nelayan tempatan dari Aceh yang datang menyelamatkan mereka.
Sementara itu, Nor Hasrul berkata, insiden tersebut memberikan kesan trauma kepadanya, tetapi ia tidak akan menghalangnya untuk kembali ke laut mencari rezeki.
"Saya telah ke laut selama setahun enam bulan sekarang. Apa yang berlaku adalah yang pertama. Kami sudah biasa menghadapi ombak besar dan ribut, tetapi tidak pernah seburuk ini. Kami akan lebih berhati-hati selepas ini," katanya sambil menambah perjalanan menangkap ikan mereka biasanya hanya mengambil masa empat jam sebelum kembali ke darat.
Ibu bapa, ahli keluarga, dan saudara-mara kedua-dua nelayan itu berada di jeti menunggu kepulangan mereka.
Media sebelum ini melaporkan mengenai kehilangan dua lelaki berkenaan selepas bot yang dinaiki mereka hanyut di perairan Kuala Sungai Pinang, kira-kira pukul 11.30 malam Selasa (17 Disember).
Bagaimanapun, operasi SAR yang masuk hari kelima pada Sabtu dihentikan selepas tidak menemukan sebarang petunjuk.
Namun bapa Ikmal menerima maklumat penemuan anaknya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran itu kira-kira pada Ahad (22 Disember). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram