[VIDEO] Tragedi 2 beradik di Melaka berulang di Kundang, wanita maut digilis lori lepas elak tong sampah roro


  • Tular
  • Selasa, 24 Dis 2024

Tangkap layar video memaparkan mangsa yang maut digilis lori selepas mengelak tong sampah roro di Kundang pada Isnin.

SEORANG wanita maut digilis lori selepas cuba mengelak sebuah tong sampah pukal atau roll-on roll-off (roro) yang diletak di tepi jalan di Kundang, Rawang, Selangor pada Isnin.

Menerusi video papan pemuka (dashcam) tular di media sosial sejak Selasa, mangsa yang menunggang motosikal itu terjatuh ke bahu jalan sebelum digilis lori.

Dalam video sama, kawasan sekitar tong sampah tersebut dilihat tiada sebarang penghadang, kon atau papan amaran yang lengkap.

BACA LAGI: Bukan lagi 'gajah putih', sinar baharu Hentian Kajang, kini pusat pertemuan pencinta buku

BACA LAGI: ‘Hamburg jadi Hamburger’, petugas DBP kongsi asam garam ajar bahasa Melayu pada warga asing

Susulan itu, aktivis keselamatan jalan raya, Lando Zawawi menggesa pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) kawasan terbabit mengambil tindakan wajar terhadap kemalangan tersebut.

"Sekiranya terbukti tiada sebarang Pelan Pengurusan Trafik (TMP) lengkap, keluarga mangsa boleh menyaman penyewa dan syarikat penyedia perkhidmatan tong sampah terbabit atas kesalahan meletakkan halangan di atas jalan sehingga mengakibatkan kematian," tulisnya di Facebook.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kemalangan tersebut.

Kejadian itu sekali gus mengingatkan orang ramai kepada tragedi sama yang menimpa dua beradik di Melaka pada 23 September lalu.

Dalam kejadian itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dan abangnya maut selepas motosikal dinaiki mereka merempuh tong sampah roro yang ditinggalkan di bahu jalan di Lebuhraya Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), Melaka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram