NEGARA haram Israel dilaporkan sedang bergolak selepas tercetusnya protes daripada orang ramai berikutan keputusan Presiden, Benjamin Netanyahu yang memecat Menteri Pertahanan, Yoav Gallant.
Tindakan itu diambil berikutan percanggahan pendapat dan pelbagai isu antara kedua-dua ahli politik Zionis itu dengan Netanyahu menjelaskan kepercayaannya terhadap Gallant mula terjejas kebelakangan ini.
Namun, bekas Menteri Pertahanan itu tampil mempertahankan dirinya dengan menjelaskan keputusan kerajaan menggugurkannya itu dibuat selepas dia menyatakan Israel perlu melakukan pengorbanan sekiranya mahu mendapatkan semula penduduknya yang menjadi tebusan di Gaza, Palestin.
BACA LAGI: Perang Israel-Iran-Hizbullah dijangka meletus seawal Isnin
Netanyahu (kanan) memecat Gallant berikutan percanggahan ideologi. — Agensi
Tindakan untuk memecatnya itu jelas mencetuskan ketegangan di negara Zionis tersebut selepas orang ramai bertindak mengadakan protes di jalanan dengan meminta Netanyahu turut serta melepaskan jawatannya selain meminta pelantikan Menteri Pertahanan baharu dengan segera.
Hubungan renggang antara kedua-dua pemimpin tertinggi Israel itu sememangnya diketahui sejak bertahun lamanya dengan terdapat laporan mengatakan mereka pernah bertikam lidah berhubung strategi peperangan mereka di Timur Tengah.
Gallant juga difahamkan tidak bersetuju dengan pelan kerajaan Zionis untuk mengecualikan penduduknya yang memegang agama Ultra Orthodox atau Haredi Judaism daripada menyertai akademi ketenteraan mereka.
Malah, sebelum pencerobohan tentera Israel ke atas Palestin, dia pernah dipecat Netanyahu akibat perbezaan idea politik, namun diserap semula berikutan desakan orang ramai.
Situasi berkenaan berulang sekali lagi dengan Perdana Menteri negara haram berkenaan menegaskan kepercayaan penuh perlu wujud antara pihak tertinggi kerajaan dan Menteri Pertahanan ketika konflik berlaku.
Portfolio yang dikosongkan berikutan pemecatan Gallant itu difahamkan akan diisi bekas Menteri Luar mereka, Israel Katz yang memiliki pengalaman dalam dunia ketenteraan.
Kenyataan itu sekali gus mewujudkan protes dalam kalangan penduduk Israel sehingga ada yang bertindak menyalakan api di tengah jalan selain mencipta kesesakan trafik yang teruk.
Sekiranya konflik dalam negara itu berlarutan, diharapkan ia akan memberi keringanan buat penduduk Palestin yang terus terjejas akibat serangan tidak berhati perut dilancarkan rejim Zionis sejak tahun lalu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram