Lepas 3 minggu senyap, Israel tiba-tiba dakwa berjaya bunuh bakal pengganti Hassan Nasrallah


  • Benua
  • Rabu, 23 Okt 2024

Safieddine dilahirkan pada 1964 di selatan Lubnan dan merupakan antara ahli pengasas Hizbullah. — Agensi

ISRAEL pada Selasa mendakwa berjaya membunuh Hashem Safieddine, individu dicanang bakal menggantikan Hassan Nasrallah sebagai pemimpin Hizbullah dalam serangan udara di Selatan Beirut pada awal Oktober lalu.

Dalam satu kenyataan, tentera Israel berkata, serangan di pinggir bandar Dahiyeh pada tiga minggu lalu telah membunuh Hashem Safieddine bersama Ali Hussein Hazima yang merupakan ketua cawangan risikan kumpulan tersebut.

Ia adalah kali pertama Israel mengesahkan kematian pegawai politik paling kanan di Hizbullah itu selepas selepas pembunuhan Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Hizbullah masih belum mengeluarkan sebarang komen mengenai kenyataan dibuat tentera Israel.

Safieddine yang merupakan ketua majlis eksekutif, iaitu badan pembuat keputusan politik tertinggi Hizbullah dilaporkan telah dipilih sebagai pengganti Nasrallah sejak beberapa tahun lalu.

Beliau juga adalah sepupu kepada Nasrallah dan turut memiliki karisma yang setanding dengan bekas pemimpin tersebut.

Nasib Safieddine menjadi tanya tanya selepas serangan Israel ke atas Dahiyeh pada 3 Oktober lalu yang menurut Israel menyasarkan kubu bawah tanah yang menjadi tempat pemimpin kanan itu tinggal.

Hizbullah dilaporkan tidak dapat berhubung semula dengan Safieddine susulan serangan tersebut dengan pekerja penyelamat dihalang daripada sampai ke lokasi terbabit.

Ekoran pembunuhan Safieddine, hanya Timbalan Setiausaha Agung Hizbullah, Naim Qassem, yang masih hidup dalam kalangan kepimpinan kanan Hizbullah.

6109294295560340116

Sisa runtuhan bangunan di lokasi menjadi sasaran serangan udara Israel yang didakwa membunuh Safieddine. — Agensi

Qassem telah menjadi jurucakap kumpulan itu sejak pembunuhan Nasrallah, tetapi dia tidak mempunyai populariti yang sama dalam kalangan penyokong Hizbullah seperti dimiliki Nasrallah.

Status mengenai pengganti bakal mengisi jawatan Setiausaha Agung Hizbullah masih tidak dapat diketahui.

Dalam ucapannya dua minggu lalu, Qassem berkata, pelantikan pemimpin baharu adalah satu prosedur yang rumit dan akan mengambil sedikit masa.

Serangan dilakukan Israel memberikan tamparan besar terhadap kepimpinan Hizbullah apabila dilaporkan hampir semua kader tentera kanan kumpulan itu terbunuh dalam serangan dilakukan rejim Zionis dalam tempoh tiga bulan lalu.

Serangan yang membunuh Safieddine juga membunuh 25 pemimpin Hizbullah yang lain, menurut Israel.

Walaupun berdepan kehilangan dalam struktur kepimpinannya, Hizbullah menegaskan bahawa kumpulan itu berjaya mengekalkan kekuatan organisasinya.

kANIKA wEBSITE IMAGE - 1

Nasrallah terbunuh dalam satu serangan udara Israel pada penghujung September lalu. — Agensi

Menurutnya, ini dibuktikan apabila Israel dilihat gagal menunjukkan kemaraan di Selatan Lubnan.

Pejuang Hizbullah juga terlibat dalam pertempuran harian dengan tentera Israel sejak rejim Zionis itu mengumumkan pencerobohan daratnya ke Lubnan pada 30 September lalu.

Safieddine dilahirkan pada 1964 di selatan Lubnan dan merupakan antara ahli pengasas Hizbullah.

Dia dianggap menghabiskan masa bertahun-tahun di Qom, pusat pendidikan agama di Iran dan diamanahkan oleh Hizbullah dengan pelbagai tugas selama beberapa dekad, termasuk menguruskan portfolio meluas kegiataan perniagaan dan undang-undang kumpulan itu.

Berbeza dengan Nasrallah yang hidup bersembunyi selama bertahun-tahun, Safieddine terus tampil secara terbuka termasuk di acara politik dan keagamaan baru-baru ini.

Pertempuran Hizbullah dan Israel bermula selepas Hizbullah melancarkan roket terhadap wilayah ditadbir rejim Zionis pada 8 Oktober 2023 'sebagai solidariti' bagi serangan dilakukan Hamas sehari sebelumnya.

Tahap pertempuran meningkat secara mendadak selepas Israel melancarkan Operasi dikenali sebagai 'Operation Northern Arrows' pada 23 September lalu.

Lebih 2,500 orang terbunuh dan kira-kira 11,850 orang cedera ekoran krisis peperangan yang berlaku di Lubnan dalam tempoh setahun lalu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram