IRAN mula bertindak mengaktifkan sistem pertahanan udara sebagai persiapan menghalang serangan balas daripada Israel.
Mereka menggunakan sistem peluru berpandu AD-120 beraltitud tinggi dan direka khas untuk memintas pelbagai ancaman dari udara termasuk taktikal strategik canggih.
Berdasarkan laporan agensi, sistem itu mampu beroperasi dalam semua keadaan cuaca dan dilengkapi dengan teknologi radar dan peluru berpandu berteknologi canggih bagi memastikan ketepatan penyasaran.
BACA LAGI: Tentera Israel dakwa Ketua Hizbullah terbunuh dalam serangan udara di Beirut
BACA LAGI: Hamas sedia duduk semeja jika Israel setuju gencatan senjata
Pada 19 Oktober lalu, Israel membuat serangan balas terhadap Iran ketika media antarabangsa melaporkan kejadian letupan di ibu negara Tehran.
Susulan itu, Iran melakukan serangan balas yang menyasarkan kemudahan tentera Israel dan ia berlaku selepas Israel membunuh pemimpin utama Hizbullah, Hassan Nasrallah di Lubnan.
Sementara itu, Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa tiada rakyat Malaysia terjejas dalam serangan Israel ke atas Tehran, Karaj, Kashan, Mashhad dan Shiraz, Iran baru-baru ini pada awal pagi Sabtu.
Kementerian itu berkata, Kedutaan Malaysia di Tehran memantau dengan teliti tentang perkembangan itu dan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas oleh serangan tersebut.
"Semua rakyat Malaysia di Iran dinasihatkan supaya bertenang, berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta panduan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Tehran di alamat No. 25, 2nd Alley, North Zarafshan St., Shahrak-e-Gharb, Tehran, Republik Islam Iran.
Mereka juga boleh menghubungi kedutaan melalui telefon di talian +98 21 8807 2444 atau melalui e-mel di [email protected].
Menurutnya, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera rejim Zionis Israel terhadap negara berdaulat Iran.
Dalam kenyataan itu, Wisma Putra berkata, serangan-serangan itu merupakan satu pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa dan menjejaskan kestabilan serantau secara serius.
"Skala, jumlah korban, dan kerosakan masih ditentukan. Malaysia menggesa agar permusuhan dihentikan serta-merta dan kitaran keganasan dihentikan," katanya.
Kementerian Luar kemudian menambah bahawa tindakan berterusan Israel tanpa hukuman terus menjejaskan dan keselamatan dan kestabilan masa depan Timur Tengah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram