ISRAEL secara rasmi telah memulakan operasi darat di selatan Lubnan, awal pagi Selasa.
Dalam satu kenyataan, rejim Zionis itu berkata, serangan dilakukan adalah terhad, setempat dan disasarkan terhadap kumpulan Hizbullah khususnya di kawasan sempadan antara kedua-dua wilayah tersebut.
Seorang pegawai keselamatan Lubnan berkata, Israel melakukan sekurang-kurangnya enam serangan di selatan Beirut, selepas tentera Israel mengarahkan penduduk di kubu kuat Hizbullah itu untuk berpindah.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Di sebalik gesaan antarabangsa untuk mengendurkan tindakannya, Israel sebelum ini berikrar untuk terus memerangi Hizbullah, selepas membunuh ketua kumpulan yang disokong Iran itu.
Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant memberi amaran bahawa pertempuran belum berakhir walaupun selepas serangan besar-besaran ke atas Beirut yang membunuh ketua Hizbullah, Hassan Nasrallah pada Jumaat lalu.
Untuk rekod, konflik berlaku antara kumpulan Hizbullah Lubnan dan Israel sudah berlangsung selama bertahun-tahun dan situasi itu diburukkan lagi dengan serangan berterusan dilakukan Israel ke atas Gaza sejak penghujung tahun lalu.
Hassan yang merupakan pemimpin tertinggi Hizbullah maut dalam serangan yang dilakukan Israel pada Jumaat lalu. — Agensi
Di sebalik serangan agresif Israel terhadap Lubnan termasuk dengan melakukan pembunuhan terhadap Hassan, Hizbullah yang disokong oleh Iran dilaporkan terus melepaskan roket dan peluru berpandu ke arah sasaran di Israel.
Dengan Israel dilihat mula melakukan pencerobohan darat di kawasan Lubnan, intensiti konflik antara kedua-dua pihak itu dijangka terus meningkat.
Ekoran perkembangan tersebut, terdapat empat senario dijangka berlaku susulan pencerobohan dilaksanakan rejim Zionis ke atas wilayah Lubnan
Empat senario
Tindakan agresif dilakukan Israel dalam tempoh beberapa minggu lalu menandakan bahawa rejim Zionis benar-benar serius dalam usahanya bagi memerangi Hizbullah.
Malah, serangan yang dijalankan itu juga seakan-akan memberi gambaran bahawa Israel cuba untuk menghapuskan Hizbullah.
Bagaimanapun, misi itu boleh dikatakan agak mustahil kerana Hizbullah merupakan satu kumpulan yang ideanya sudah menjadi sebahagian daripada masyarakat Lubnan khususnya populasi Syiah yang berada selatan negara itu.
Usaha bagi menghapuskan Hizbullah hanya akan menjadikan kumpulan itu lebih kuat.
Apabila Israel mengumumkan pada 2006 bahawa ia akan memusnahkan kumpulan itu, ia menjadikan Israel kelihatan lemah kerana Hizbullah kemudiannya hanya perlu bertahan sebelum mengisytiharkan kemenangan mereka dalam konflik tersebut.
Pasukan tentera Hizbullah pernah bertempur dengan Israel dalam perang pada 2006.
Satu lagi senario yang mungkin berlaku adalah pencerobohan pantas oleh Israel terhadap negara jiran terbabit.
Bagaimanapun, sekali lagi, tindakan tersebut yang dijangka meliputi serangan terhadap di tapak peluru berpandu Hizbullah dan pusat gerakannya di darat dilihat berisiko dan hanya memberikan kelebihan kepada kumpulan terbabit.
Ini kerana gerakan tersebut telah berlatih untuk kemungkinan tersebut selama bertahun-tahun.
Pasukan pejuangnya juga menerima latihan yang komprehensif dan turut berkemungkinan mempunyai pengalaman pertempuran dari perang di Syria.
Selain itu, senario ketiga yang boleh berlaku adalah kemungkinan terdapatnya usaha bagi menghidupkan semula perang saudara di wilayah Lubnan yang ketika ini sudah pun sedia dipisahkan oleh beberapa puak.
Langkah ini dilihat berpotensi untuk menyebabkan Hizbullah lebih sibuk dengan konflik yang berlaku di dalam negara tersebut sekali gus mengurangkan fokus kumpulan terbabit terhadap Israel.
Tindakan ini dijangka boleh digunakan Israel sebagai satu strategi jangka panjang namun ia tidak memberikan sebarang jaminan kejayaan.
Ia kerana sebarang konflik perang saudara yang berlaku berpotensi untuk mencetuskan situasi yang lebih tidak menentu termasuk merebak menjadi perang lebih besar sehingga menyebabkan risiko terhadap keselamatan Israel turut terancam.
Ini membawa kepada senario keempat yang akan menyaksikan Israel membina zon penampan atau 'buffer zone' dengan menolak pasukan Hizbullah jauh dari dari sempadan.
Di atas kertas, rancangan ini dilihat sememangnya satu strategi yang baik.
Namun, sebarang percubaan oleh Israel untuk mewujudkan zon penampan di sekitar sempadan, berkemungkinan besar berakhir dengan kesan lebih buruk terhadap mereka.
Untuk mencipta zon penampan, Israel perlu menggunakan tentera darat untuk mempertahankan kawasan tersebut.
Keadaan permukaan geografi pergunungan dan kawasan berbatu di Lubnan menyukarkan pergerakan dan mengehadkan kehadiran kereta kebal dan kenderaan ketenteraan lain di jalan raya, menjadikan askar rejim Zionis mudah terdedah kepada serangan hendap oleh Hizbullah.
Pembinaan zon penampan di sempadan dilihat antara kemungkinan yang boleh berlaku melibatkan Israel dan Hizbullah. — Agensi
Pada 2006, Hizbullah mengejutkan tentera Israel dengan menyerang hendap secara berkesan pergerakan askar pasukan itu dan menyasarkan anggota peronda Israel.
Unit tentera Israel bergelut untuk melawan, kekurangan pengalaman mereka sering membawa kepada kesilapan besar.
Sekurang-kurangnya 20 kereta kebal telah musnah atau rosak dalam perang pada 2006 kerana komander yang tidak mempunyai pengalaman tempur barisan kereta kebal telah membawa pasukannya terperangkap ke dalam serangan hendap yang diatur dengan teliti oleh Hizbullah.
Disebabkan itu, kesilapan tersebut kemungkinan tidak akan diulangi.
Israel telah belajar daripada kesilapan dilakukan. Tambahan pula, unit tempurnya mempunyai pengalaman melawan Hamas selama hampir setahun.
Jika diteliti, tentera Israel merupakan pasukan yang agak lantang bersuara dan tidak akan melakukan kesilapan yang sama dua kali.
Bagaimanapun, Hizbullah turut mengambil pelajaran daripada konflik yang berlaku selama bertahun-tahun dan banyak menambah kekuatannya.
Pada 2006, terdapat kira-kira 5,000 pejuang kumpulan itu di bahagian selatan.
Jumlah itu kini telah meningkat kepada kira-kira 20,000 hingga 30,000 anggota, dengan beribu-ribu lagi dalam pasukan simpanan.
Unit pasukan khas mereka dikenali sebagai Radwan, mempunyai 3,000 tentera yang dilatih khusus untuk beroperasi di selatan.
Kedua-dua pihak menggunakan teknologi iaitu dron pengawasan untuk menjejaki pihak lawan.
Hizbullah mempunyai gudang besar senjata anti kereta kebal yang canggih seperti peluru berpandu Kornet, yang telah terbukti berkesan terhadap kereta kebal Merkava Israel.
Usaha mewujudkan zon penampan bermakna Israel perlu mengekalkan tentera di kawasan tersebut dalam kedudukan bertahan bersama-sama dengan rondaan agresif, pengawasan dan kuasa udara.
Mana-mana tentera darat akan menjadi sasaran berterusan untuk serangan bom tepi jalan, penembak tepat, serangan hendap dan roket.
Tentera Israel boleh melebarkan saiz zon penampan. Bagaimanapun, Hizbullah mempunyai senjata yang cukup ampuh untuk melepaskan peluru berpandu dari mana-mana lokasi di Lubnan dan tepat mengenai sasaran jauh ke Israel.
Lebih besar saiz wilayah yang diambil, lebih ramai rakyat Lubnan akan jatuh di bawah pendudukan Israel.
Memandangkan serangan roket akan berterusan dari bahagian Lubnan yang masih tidak dikawal oleh Israel, zon penampan akan mempunyai had sehingga pada satu peringka, rejim mungkin terpaksa berundur ke posisi yang sukar untuk menakluk seluruh Lubnan.
Situasi tersebut juga akan mengheret Israel ke dalam kemelut jangka panjang yang tidak mampu ditanggung oleh kewangan negara tersebut dan bakal mengundang bencana lain yang lebih teruk.
Akhirnya, Israel berkemungkinan terpaksa akur bahawa penyelesaian terhadap konflik terbabit tidak boleh dicapai menerusi tindakan ketenteraan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram