Oday digalak lebih kerap rai jaringan tunjukkan lilitan lengan bendera Palestin


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Selasa, 01 Okt 2024

Oday (kiri) menunjukkan lilitan lengan bendera Palestin ketika meraikan jaringan bertemu Negeri Sembilan.

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

SEJURUS menjaringkan gol kemenangan Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Paroi, Jumaat lalu, Oday Kharoub berlari ke tepi padang, melurutkan lilitan lengannya selaku kapten yang tertera bendera Palestin lalu menunjukkannya ke kamera televisyen untuk tontonan ramai.

Ia satu perlakuan simboliknya untuk mengingatkan semua orang mengenai kekejaman rejim Zionis Israel di Gaza – kemas kini terbaru menyebut angka korban meningkat kepada 40,819 orang manakala 94,291 yang lain cedera dalam serangan berterusan sejak 7 Oktober 2023.

Jika diimbau, keseronokan meraikan gol seperti itu bukan pun kali pertama daripada pemain serba boleh berusia 31 tahun itu – cuma dia tidak dapat melakukannya secara lebih kerap seperti diinginkannya.

BACA LAGI: Kelantan Darul Naim FC sasar angin perubahan kedua

BACA LAGI: Siap jumpa TMJ, tetamu VIP saksikan JDT pesta gol benam Kelantan

Ketika KDN FC julung-julung kali meraih kemenangan 1-0 ke atas PDRM FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 23 Jun – menyusuli tiga kekalahan berturut-turut pada awal musim – Oday tidak berlengah selepas menyudahkan satu sepakan penalti pada minit ke-28 untuk memulakan keraian sedemikian.

“Apabila saya membuat jaringan itu, saya melurutkan lilitan lengan bendera Palestin untuk mengingatkan semua orang mengenai apa yang sedang berlaku di Gaza. Saya benar-benar terharu dengan sokongan yang diberikan kepada saya dan Palestin sejak saya menyertai KDN FC,” katanya seperti dipetik dalam satu laporan The Star.

Selain posisi asalnya selaku pemain tengah bertahan, Oday yang berkebolehan beraksi di barisan pertahanan dan sesekali naik membantu serangan, kerap dilihat berada di mana-mana mengikut keperluan pasukan.

Sewaktu kedudukan terikat 2-2 dengan Negeri Sembilan FC minggu lalu dengan permainan masa sebenar cuma berbaki seminit atau dua, Oday memainkan peranannya sebagai kapten dengan mengerah rakan-rakan pasukan agar menggandakan asakan.

Kemudian, daripada satu sepakan percuma di sebelah kiri petak penalti lawan selepas satu faul ke atas pemain gantian, Fazrul Amir, Oday mengambil posisinya dan melencongkan sepakan percuma, yang tidak disentuh mana-mana pemain termasuk penjaga gol, Aqil Razak, lalu menerjah ke jaring untuk kemenangan 3-1 ketika catatan masa menunjukkan minit 90+4.

461516958_1066308202161022_2756605735894552036_n

Oday (tengah) meraikan jaringan berdepan Negeri Sembilan.

Kemenangan dramatik itu bukan sekadar memberikan KDN tiga mata keduanya, malah turut mengangkat skuad Kijang Emas itu dari tangga terbawah liga dengan enam mata daripada 11 perlawanan.

Berkongsi cerita mengenai Oday, penolong ketua jurulatih KDN, Rezal Zambery Yahya, hanya dapat menghamburkan pujian terhadap pemain itu yang menjadi nama pertama ditulis ketua jurulatih, Park Jae-hong, setiap kali menamakan kesebelasannya dalam setiap perlawanan.

Kecuali perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 22 September apabila dia tidak disenaraikan bagi mengelakkannya daripada mengutip kad kuning ketiga – yang tidak akan membolehkannya beraksi menentang NSFC -- Oday diturunkan dalam kesemua perlawanan selebihnya.

Bukan sekadar pemain antarabangsa Palestin itu adalah kapten KDN, malah seluruh pasukan dibentuk dengan berpaksi kepadanya.

Mengimbau perpindahan Oday ke Kota Bharu – kemudian disertai abangnya, Layth, ketika jendela perpindahan kedua -- Rezal berkata ia didorong oleh keputusan pengurusan KDN pada pramusim untuk mendapatkan seorang pemain dari Palestin sebagai menyatakan sokongan kepada mereka yang menghadapi sikap tidak berperikemanusiaan Israel.

“Memang pengurusan nak cari seorang pemain Palestin ketika itu sebagai menyatakan sokongan kami kepada perjuangan rakyat Palestin. Ada beberapa pemain yang disenarai-pendekkan daripada pasukan Palestin yang sedang beraksi dalam Piala Asia di Qatar (dari 12 Januari hingga 10 Februari 2024).

“Selepas tertarik dengan prestasi Oday (yang tampil 23 kali bersama pasukan kebangsaan Palestin sejak 2017), kami dapat menghubunginya melalui seorang perantara dan dia bersetuju dengan tawaran kami,” tambahnya.

Dalam kempen di Qatar itu, Palestin yang diundi dalam Kumpulan C, tewas 1-4 kepada Iran, seri 1-1 dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan menewaskan Hong Kong 3-0 untuk layak ke pusingan 16 terakhir sebelum tewas 1-2 kepada tuan rumah, Qatar.

“Saya gembira dapat datang ke Malaysia kerana seluruh negara ini menyokong Palestin dan peminatnya pula istimewa, jadi saya berasa bangga dapat bermain untuk Kelantan Darul Naim,” kata Oday dalam satu temu bual dengan harimaumalaya.com.my pada 23 Mei lalu.

Menurut Rezal, sejak ketibaannya pada Mac lalu lagi, Oday terserlah sebagai pemain yang sentiasa bekerja keras dalam latihan, dihormati rakan sepasukan dan menunjukkan daya kepimpinan yang tinggi.

“Dalam kesemua perlawanan dia diturunkan setakat ini, kadar kerjanya sangat baik dan menjadi peniup semangat kepada rakan sepasukan agar terus bekerja keras dan jangan mudah mengalah hingga wisel terakhir. Itulah kualiti yang dimilikinya,” katanya.

Mengenai cara dia meraikan jaringan dengan menunjukkan lilitan lengan bendera Palestin, jurulatih itu berkongsi bahawa dia memang diberi kebenaran berbuat demikian oleh pengurusan pasukan dan digalakkan meneruskannya.

“Malah, kami akan gembira jika dia dapat lebih kerap melakukannya,” kata Rezal lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram