RUSIA baru-baru ini dilaporkan sudah menghasilkan teknologi baharu dengan mencipta sistem penembak dron mudah alih dikenali sebagai Osoed yang direka khusus untuk menyasar dan meneutralkan ancaman dron musuh.
Berdasarkan laporan agensi, syarikat di Rusia mendakwa bahawa ia merupakan penembak dron mudah alih pertama dihasilkan di dunia yang dilengkapi dengan pengesan haba.
Ia dibina daripada platform dron FPV 9 inci serta dilengkapi dengan mekanisme khas yang membolehkannya menembak keluar jaring untuk memerangkap dron musuh dari jarak jauh.
BACA LAGI: [VIDEO] Tragedi banjir besar berulang selepas setahun, hampir 100 rakyat Sepanyol maut
Peranti itu juga dikatakan boleh mencapai kelajuan sehingga 140 kilometer sejam (km/j) dan ketahanan bateri selama 24 minit.
Purata operasinya juga adalah sebanyak 4km hingga 5km dan ketinggian maksimum 5km hingga 6km.
Peranti mudah alih tersebut juga dilengkapi fungsi tambahan iaitu pengimejan haba sekali gus membolehkan ia digunakan pada waktu malam.
Bukan itu sahaja, peranti itu turut digunakan atas tujuan bagi menghalang mana-mana jenis kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) Ukraine yang menjejaskan tentera serta senjata Rusia ketika perang semakin meruncing di Ukraine.
Malah tentera Ukraine bergantung kepada penggunaan dron untuk melancarkan serangan terhadap askar Rusia dan taktik ini menyebabkan Moscow terpaksa mencari jalan bagi mengatasi ancaman itu.
Ukraine pada masa sama turut memperluas penggunaan sistem dron dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dihasilkan secara domestik untuk membolehkan mereka menyerang sasaran di medan perang tanpa perlu dipandu.
Sistem itu juga membolehkan dron murah yang membawa bahan letupan mengesan atau terbang ke sasaran meskipun di kawasan dilindungi oleh gangguan isyarat dan mengurangkan keberkesanan dron dipandu secara manual. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram