SERAMAI 10 pengunjung cedera termasuk enam daripadanya dilaporkan kritikal apabila dua permainan dikenali sebagai 'gondola cars' terjatuh dan terhempas di tapak fun fair (pesta ria) di Ecuador pada Ahad lalu.
Menerusi video yang sempat dirakam oleh pengunjung lain, kejadian berlaku apabila permainan itu terlanggar besi penghadang sebelum tercampak jauh mengenai beberapa khemah premis lain yang berhampiran lokasi itu.
Sejurus itu, kelihatan para pengunjung yang panik dan bertempiaran lari sambil menjerit ketakutan apabila melihat 'gondola cars' yang masih dipenuhi dengan penumpang terhempas.
BACA LAGI: Kes 1MDB: Najib kecewa mahkamah arah bela diri, Shafee kecewa tak menang walau dengan 1 mata
BACA LAGI: Program biasiswa tajaan kerajaan Rusia kini dibuka untuk pelajar warga Malaysia
Menurut saksi, terdapat kesan darah yang dapat dilihat pada permainan tersebut selepas kejadian.
Susulan itu, Ketua Bomba Tempatan Moises Cano memaklumkan, enam daripada 10 mangsa cedera parah di kepala, mengalami trauma dan patah tulang.
Manakala, Jurucakap Polis, Ricardo Armas berkata, siasatan awal mendapati bahawa satu daripada besi mekanikal permainan longgar dan tercabut sehingga menyebabkan ia terjatuh.
Justeru, pesta ria itu ditutup buat sementara waktu dan pihak penganjur berjanji untuk menampung bil perubatan kesemua mangsa terlibat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram