[VIDEO] Tragedi banjir besar berulang selepas setahun, hampir 100 rakyat Sepanyol maut


  • Benua
  • Khamis, 31 Okt 2024

Tangkap layar video memaparkan puluhan kenderaan yang terkandas di lebuh raya selepas banjir kilat berlaku di Valencia, Sepanyol pada Rabu.

KIRA-KIRA 95 orang terbunuh dalam kejadian banjir paling dahsyat yang melanda bandar Valencia, Sepanyol pada Rabu.

Pakar meteorologi memaklumkan bahawa hujan yang turun selama lapan jam itu sekali gus menyebabkan kerosakan di lebuh raya, menghanyutkan jambatan, bangunan serta menenggelamkan tanaman.

Kejadian itu juga menimbulkan panik sehingga ada yang terpaksa menyelamatkan diri dengan memanjat bumbung kereta ketika air mula naik di jalan raya.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Fun fair' bertukar tragedi, 10 pengunjung cedera tercampak lepas 'gondola cars' tercabut di Ecuador

BACA LAGI: Kes 1MDB: Najib kecewa mahkamah arah bela diri, Shafee kecewa tak menang walau dengan 1 mata

Menerusi video tular di media sosial, kelihatan puluhan kenderaan yang bertindih dan rosak di tengah jalan akibat dihanyutkan oleh air deras.

Kelihatan juga beberapa pokok tumbang dan ketulan-ketulan batu daripada dinding bangunan yang pecah.

Seorang daripada mangsa terselemat, Denis Hlavaty berkata, dia terpaksa bertahan di sebuah stesen minyak tempatnya bekerja yang dinaiki air sedalam dua meter.

Susulan itu, Menteri Pertahanan Sepanyol, Margarita Robles memberitahu, unit tentera khas akan mula melakukan operasi menyelamat dan membersihkan sisa lumpur dan serpihan di kawasan paling teruk pada Khamis.

Beliau berkata, setakat ini, pasukan penyelamat membawa 50 bilik mayat bergerak untuk mengeluarkan mangsa-mangsa yang maut dalam kejadian itu.

Pihaknya juga berjanji untuk membina dan membaiki semula kesemua infrastruktur yang musnah akibat banjir besar itu.

Kejadian tersebut berulang kembali selepas berlakunya tragedi sama pada 2023.

Pada Julai 2023, banjir kilat dan hujan lebat melanda bandar Zaragoza yang terletak di wilayah Timur Laut Aragon, Sepanyol.

Menurut Datuk Bandar Zaragoza, Natalia Chueca, wilayah itu menyaksikan peningkatan paras air dalam tempoh 10 minit dari 20 liter kepada 56 liter.

Dalam kejadian sama, kira-kira 12 individu terkandas di dalam kenderaan dan di atas pokok untuk melindungi diri daripada dihanyutkan air.

Keadaan ketika itu juga amat membimbangkan apabila penduduk dilihat terpaksa berpaut di atas bumbung kereta di kala hampir dihanyutkan air. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram