Habis SPM terus jadi pesawah, Mohd Amirul raih pendapatan RM6,000 sebulan


  • Bizz
  • Rabu, 30 Okt 2024

Pencapaian terkini beberapa petani muda yang mula mencipta nama dalam industri pertanian secara perlahan-lahan mengikis pandangan negatif terhadap sektor tersebut.

DALAM tempoh sedekad lalu, sektor pertanian negara dilaporkan sedang berdepan dengan proses penuaan apabila pekerjaan tersebut dilihat lebih didominasi petani yang sudah berusia.

Situasi tersebut menyebabkan ramai pakar menggesa agar kerajaan meningkatkan lagi usaha menarik lebih ramai anak muda untuk menceburi bidang tersebut.

Bagaimanapun, dengan kemajuan teknologi menerusi ledakan pengaruh media sosial dan teknologi Internet of Things (IoT) sebagai laluan kerjaya, ia dilihat semakin menjauhkan golongan beli daripada menjadikan pertanian sebagai pekerjaan yang menjanjikan.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Pada 2020, berdasarkan statistik digariskan di bawah Dasar Agromakanan Negara 2011–2020 oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi), hanya 15 peratus belia atau mereka di bawah 40 tahun terlibat dalam pertanian ketika itu.

Statistik tersebut secara langsung menunjukkan kemerosotan potensi penggantian tenaga kerja baharu dalam sektor tersebut.

Lebih membimbangkan, jumlah itu tidak menunjukkan peningkatan ketara sejak waktu tersebut, jika diambil daripada angka rasmi berkenaan.

Dilaporkan bahawa persepsi menganggap bertani sebagai pekerjaan intensif buruh dengan pulangan yang rendah kekal menjadi punca kebimbangan utama menghalang belia daripada menjadikannya sebagai kerjaya.

Bagaimanapun, pencapaian terkini beberapa petani muda yang mula mencipta nama dalam industri pertanian secara perlahan-lahan mengikis pandangan negatif tersebut.

6102393700454874928

Mohd Amirul mempunyai kepakaran untuk mengembangkan varian padi berkualiti tinggi - MR219 dan MR297.

Perkembangan positif tersebut disumbangkan antara lain oleh inisiatif yang digerakkan Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan (KPKM) serta agensinya termasuk Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).

Di bawah program yang dirangka, ia telah membuahkan beberapa kejayaan khususnya dalam meningkatkan kehadiran petani muda dan celik teknologi moden.

KPKM juga memperkenalkan pelbagai dasar dan sokongan untuk menyokong pertumbuhan usahawan tani dan seterusnya menjamin keselamatan makanan negara termasuk melalui penubuhan Jawatankuasa Pemandu Pembiayaan Pertanian Inovasi pada tahun lalu.

“Terdapat minat yang semakin meningkat dalam kalangan golongan muda untuk terlibat dalam pertanian sejak akhir-akhir ini dan kami berusaha sedaya upaya untuk memenuhi keperluan mereka,” kata KPKM.

Dengan melihatkan kepada peningkatan minat belia terhadap aktiviti pertanian, usaha yang dijalankan untuk membuat perubahan terhadap sektor tersebut dilihat semakin membuahkan hasil.

Terus bertani selepas SPM

Mohd Amirul Idris, 37, merupakan antara kisah kejayaan petani muda yang mula menempa dalam bidang pertanian di dalam negara.

Malah, pencapaiannya dalam bidang keusahawanan pertanian turut pernah menjadi sorotan media pada Disember tahun lalu.

Pada waktu ini, Mohd Amirul sedang mengusahakan sawah padi seluas lapan hektar di Kampung Alor Rela, Langgar, Alor Setar.

Antara kepakarannya adalah mengembangkan varian padi berkualiti tinggi - MR219 dan MR297.

6102393700454874929

Petani kini hanya perlu menggunakan dron untuk melakukan aktiviti menyembur racun perosak tanpa bergelumang dengan lumpur. — Gambar hiasan

Untuk rekod, hasil tuaiannya mencecah kira-kira 9.5 tan bagi setiap hektar dengan pendapatan kira-kira RM6,000 sebulan.

Di samping itu, Mohd Amirul juga mahir menggunakan teknologi dalam keusahawanan pertaniannya termasuk menggunakan dron untuk menyembur racun perosak tanpa perlu melakukannya secara manual dan bergelumang dengan lumpur.

Untuk rekod, Mohd Amirul turut memanfaatkan kemudahan modal ditawarkan di bawah program usahawan tani Mada yang membolehkannya memajak sawah padi sejak 2012.

“Saya berumur 18 tahun ketika itu dan baru tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Tidak lama kemudian saya menyukai apa yang saya lakukan dan memutuskan untuk meneruskan penanaman padi,” katanya.

Di bawah program Agropreneur Muda yang dijalankan KPKM, usahawan dan petani ditawarkan bantuan kewangan untuk membantu mereka memperoleh input pertanian, teknologi, latihan dan sumber.

Ia telah melahirkan usahawan berjaya dalam pelbagai subsektor maju, termasuk tanaman, penternakan, perikanan dan industri makanan tani.

“Program ini diperkenalkan khusus untuk membantu individu muda yang baru menceburi bidang pertanian dan pertanian makanan.

"Bantuan yang disediakan di bawah program ini adalah dalam bentuk geran bernilai sehingga RM20,000 bagi membantu golongan muda mengurangkan kos memulakan projek mereka.

“Selain membantu meningkatkan pendapatan individu muda, program ini juga sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan hasil pertanian tempatan. Usahawan sentiasa dibimbing dan dilatih untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil pertanian mereka,” kata KPKM. — The Star/SYED UMAR ARIFF

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram