KOREA Utara pada Selasa meletupkan sebahagian jalan yang menghubungkannya dengan Korea Selatan selepas rejim itu berikrar untuk memutuskan hubungan jalan raya dan kereta api yang pernah dianggap sebagai simbol kerjasama antara kedua-dua negara.
Tentera Pyongyang minggu lalu berikrar untuk menutup sempadan selatannya secara kekal selepas menghabiskan berbulan-bulan memasang periuk api dan membina penghalang anti kereta kebal.
Ia susulan pengumuman pemimpin tertingginya, Kim Jong Un yang mengisytiharkan Korea Selatan sebagai musuh utama negara.
BACA LAGI: 'MP BERSATU berpaling tadah dihentikan keahlian, bukan lucut' — Saifuddin
BACA LAGI: Membazir RM36 juta duit rakyat jika 6 PRK Parlimen diadakan
North Korea prepares for war? They blow up the roads and rails that used to connect the North and the South. Kim Jong Un has ordered artillery units to move near the border with ‘readiness to engage’. If the US starts a war with Iran WW3 is guaranteed. pic.twitter.com/lOfnFC4Z4Q
— Kim Dotcom (@KimDotcom) October 15, 2024
Korea Utara juga sebelum ini menuduh Seoul menggunakan dron untuk menjatuhkan risalah propaganda anti rejim di ibu kota Pyongyang.
Jong Un juga mengadakan mesyuarat keselamatan bagi mengarahkan rancangan 'tindakan ketenteraan segera' sebagai tindak balas, lapor media Korea Utara pada Selasa.
"Korea Utara meletupkan sebahagian jalan Gyeongui dan Donghae di utara Garisan Persempadanan Tentera (MDL)," kata Ketua Turus Bersama Korea Selatan, yang merujuk kepada infrastruktur antara Korea yang pernah menghubungkan kedua-dua negara.
"Tiada kerosakan pada tentera kami dan pasukan kami melancarkan tembakan balas di kawasan selatan MDL," tambahnya.
Ketua Turus Bersama menambah, beberapa bahagian landasan kereta api yang menghubungkan Utara dengan Selatan juga diletupkan, tanpa memberikan butiran lanjut.
Infrastruktur itu telah lama ditutup, namun tindakan memusnahkannya ibarat menghantar mesej jelas bahawa Jong-Un tidak bersedia untuk berunding dengan Korea Selatan, kata pakar.
"Ini adalah langkah ketenteraan praktikal berkaitan dengan sistem dwi negara bermusuhan yang sering disebut Korea Utara.
"Korea Utara mungkin juga sedang mempertimbangkan untuk membina lebih banyak halangan fizikal di sepanjang sempadan," kata Presiden Universiti Kajian Korea Utara di Seoul, Yang Moo-jin kepada AFP.
Tentera Korea Selatan turut memuat naik satu rakaman menunjukkan askar Korea Utara berpakaian seragam ketenteraan, sebelum satu letupan besar berlaku yang meletupkan sebahagian jalan Gyeongui.
Sementara itu, Kementerian Penyatuan Korea Selatan mengecam Korea Utara dan menyifatkan tindakan itu sebagai provokasi 'amat tidak normal', sambil menambah bahawa Seoul telah menanggung kos berjuta-juta untuk membina infrastruktur tersebut.
"Korea Utara masih mempunyai obligasi pembayaran balik berhubung pembiayaan ini," tambahnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram