LAUNGAN 'kami menang' oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNGA) ke-79 di New York, Amerika Syarikat pada Jumaat mencetuskan kemarahan ramai.
Kenyataan itu dibuat susulan serangan berterusan dilakukan tentera Zionis terhadap pejuang Hamas di Gaza dan Lubnan baru-baru ini.
Menerima reaksi negatif dari delegasi dan perwakilan negara-negara lain, perhimpunan itu bertukar sepi selepas rata-ratanya mula mengosongkan dewan tersebut sebaik giliran pemimpin itu berucap.
BACA LAGI: [VIDEO] Hezbollah lancar lebih 100 roket, tembusi pertahanan udara Israel
BACA LAGI: Perang Israel-Iran-Hizbullah dijangka meletus seawal Isnin
Perbuatan itu dianggap sebagai salah satu tanda protes terhadap individu berkenaan ekoran sifat riak dan bongkaknya yang turut memperkecilkan peranan PBB dalam perbahasannya.
Dalam ucapannya, Benjamin menggambarkan Israel sebagai lambang kekuatan dan mencabar Iran untuk menghentikan sokongan terhadap Palestin.
"Saya mempunyai mesej untuk perwakilan Tehran dari Iran, jika anda menyerang kami, kami akan menyerang anda.
"Tiada tempat di Iran yang tidak mampu dikuasai oleh tentera Israel dan ia berlaku di seluruh rantau Timur Tengah.
"Kami akan terus menghalang ancaman Hezbollah di negara itu sehingga semua objektif kami tercapai.
"Selagi Hezbollah memilih jalan peperangan, Israel tidak mempunyai pilihan dan akan menghapuskan ancaman itu demi mengembalikan keselamatan rakyat kami dan itulah yang sedang dilakukan," katanya.
Benjamin turut menolak cadangan gencatan senjata dari Amerika Syarikat, Perancis dan beberapa lagi negara lain yang menggesa agar peperangan itu dihentikan selama 21 hari. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram