CARLY Gregg, remaja berusia 15 tahun yang menembak mati ibunya dan cuba membunuh bapa tirinya pada Mac lalu, dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.
Menurut laporan berita antarabangsa, hukuman tersebut dijatuhkan kepada Carly pada Jumaat, selepas juri di Rankin County, Mississippi, Amerika Syarikat (AS) mendapati dia bersalah atas semua pertuduhan.
Ia termasuk pembunuhan peringkat pertama, cubaan membunuh dan mengganggu bahan bukti kerana menyembunyikan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
BACA LAGI: Tawarkan pengalaman unik dan mengasyikkan antara kunci industri runcit buku mampu kekal relevan
BACA LAGI: 3PBI rangka pelan komprehensif tingkat mutu Bahasa Inggeris di sekolah seluruh negara
Pihak pembelaan tidak menafikan pertuduhan bahawa remaja itu (kanan) membunuh ibunya. — Agensi
Carly kelihatan beremosi dan menangis teresak-esak ketika juri mendapati dia bersalah atas pembunuhan ibunya.
Juri bermusyawarah selama dua jam untuk membuat keputusan dan satu jam lagi untuk hukuman.
Pendakwa raya, Kathryn Newman berhujah bahawa hukuman itu sesuai kerana remaja itu tidak menunjukkan sebarang penyesalan.
"Dia tahu apa yang dia lakukan," kata Kathryn.
Hukuman penjara seumur hidup itu akan dijalankan serentak dengan hukuman penjara 10 tahun atas kesalahan mengganggu bahan bukti.
Dalam kejadian pada 19 Mac 2024, Carly didapati menggunakan pistol milik ibunya yang diletakkan di dalam bilik tidur di sebuah kediaman di Brandon, Mississippi, untuk menembak Ashely Smylie, 40.
Menerusi rakaman CCTV, dia kemudian dilihat menghantar mesej kepada bapa tirinya, Heath Smylie, supaya pulang ke rumah. Apabila dia tiba, Carly menembaknya, namun cubaannya gagal dan tembakan hanya terkena pada bahu.
Carly menangis teresak-esak ketika juri mendapati dia bersalah atas pembunuhan ibunya. — Agensi
Carly kemudian melarikan diri tetapi berjaya ditangkap berhampiran rumah mereka.
Dalam perbicaraan tersebut, pihak pembelaan tidak menafikan pertuduhan bahawa remaja itu membunuh ibunya, namun peguamnya cuba membuktikan Carly mengalami krisis kesihatan mental dan langsung tidak mengingati insiden tersebut.
Pakar psikologi kanak-kanak, Dr Andrew Clark yang memberi keterangan pada Selasa berkata, pada hari kejadian, Carly berada dalam keadaan marah dan mudah tersinggung.
"Dia juga malah tidak dapat menumpukan perhatian di sekolah menengah Northwest Rankin High School, tempat ibunya mengajar subjek matematik.
"Remaja tersebut mendakwa ingatannya 'kosong' pada hari tersebut selepas melepaskan anjingnya ke halaman belakang," katanya.
Clark turut memberi keterangan bahawa remaja berkenaan mengalami simptom kemurungan dan pernah diberi ubat yang membuatnya berasa kebas.
Tambahnya, dia juga mendengar 'suara' tertentu, yang mana keadaannya menjadi bertambah teruk sebelum kejadian tembakan berlaku, selain mempunyai sejarah mencederakan diri sendiri.
Setelah pulang ke rumah bersama ibunya, pendakwa raya berkata, Carly terus menuju ke bilik tidur ibu bapanya untuk mengambil pistol 357 Magnum dari bawah tilam mereka.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram