[VIDEO] Wanita selisih maut, kereta musnah terbakar langgar bongkah konkrit jatuh dari treler di Seremban


  • 112
  • Jumaat, 20 Sep 2024

Anggota bomba memadamkan kebakaran melibatkan sebuah kereta yang melanggar bongkah konkrit yang jatuh dari sebuah treler dalam kejadian di Jalan Mambau pada Jumaat. — Bomba

SEORANG wanita selisih maut selepas kereta yang dipandunya terbakar dan musnah sepenuhnya selepas dihempap bongkah longkang konkrit yang terjatuh dari sebuah treler di Jalan Mambau dekat Seremban, Negeri Sembilan pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu, pemandu kereta berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan.

Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Ahmad Khomeini Kamarudzaman berkata, dianggarkan lebih separuh daripada muatan treler berkenaan terjatuh termasuk ke atas jalan raya.

BACA LAGI: Bentong Kali penjenayah paling kejam, pernah tembak orang sebab ditegur buang air kecil

BACA LAGI: 'Menyerahlah yob', pengganas Al-Maunah minta izin mandi dulu sebelum serah diri

"Pihak kami menerima panggilan kecemasan pukul 7.28 pagi sebelum pasukan dari BBP Seremban 2 bergegas ke lokasi dan tiba 10 minit kemudian sebelum mendapati sebuah kereta terbakar.

"Kami menjalankan operasi pemadaman api, namun kereta berkenaan tidak dapat diselamatkan dan hangus 100 peratus. Pemandunya berjaya menyelamatkan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau lagi, melalui maklumat daripada pemandu kereta jenis Proton Saga FLX, bongkah longkang yang dibawa treler dipandu seorang lelaki berusia 63 tahun itu didakwa terjatuh ke atas keretanya di bahagian hadapan.

"Akibatnya kereta dipandu seorang wanita berusia 31 tahun itu mula terbakar dipercayai bermula dari bahagian enjin.

"Sebuah lagi kereta jenis Perodua Axia dipandu seorang wanita berusia 30 tahun dikatakan tidak sempat mengelak bongkah yang terjatuh di jalan raya menyebabkan kerosakan pada bahagian pintu belakang," katanya.

Jelasnya, pemandu Proton Saga FLX hanya mengalami kecederaan ringan pada tangan dan sudah diberikan rawatan manakala pemandu lain tidak mengalami kecederaan.

"Kejadian juga menyebabkan kesesakan kira-kira tujuh kilometer di kedua-dua arah. Operasi mengalihkan bongkah dan sisanya masih dijalankan.

"Kebakaran kereta itu dapat dikawal kemudiannya kira-kira pukul 7.43 pagi melibatkan 12 orang anggota bomba," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram