[VIDEO] Rumah lebih sejuk dan selamat, inovasi konkrit kenaf alternatif baharu sektor pembinaan


  • Massa
  • Rabu, 18 Sep 2024

Konkrit kenaf mempunyai daya ketahanan dan lebih menjimatkan kos dalam pembinaan bangunan.

ANTARA bahan asas dalam sesebuah pembinaan bangunan adalah dengan menggunakan batu bata.

Lazimnya, batu bata diperbuat daripada campuran simen, tanah liat, pasir dan kapur bagi meningkatkan lagi daya ketahanan dan keupayaan dalam struktur bangunan.

Namun, pernahkah anda terfikir jika terdapat batu bata dengan fungsi sama tetapi dihasilkan menggunakan tumbuh-tumbuhan.

BACA LAGI: Dari muka buku jadi realiti, pencinta aktiviti berkhemah jalin hubungan komuniti nikmati alam sekitar

BACA LAGI: Keluarga sebagai sistem sokongan, Syuhada pilih cara mentor cari solusi urus masa kerja dan sosial

6289382720958217635

Kenaf merupakan sejenis tumbuhan dari jenis pokok Hibiscus renek.

Batu bata daun kenaf merupakan satu inovasi baharu yang mungkin ramai belum tahu akan kewujudannya mampu menandingi fungsi bahan lain.

Kenaf merupakan sejenis tumbuhan dari jenis pokok Hibiscus renek yang serupa dengan tanaman bendi dan sudah diusahakan di beberapa negara termasuk Malaysia.

Tanaman itu juga pernah dipromosikan beberapa belas tahun lalu untuk tujuan komersial tetapi kurang mendapat sambutan para petani sehingga Lembaga Tembakau Negara (LTN) ditukar kepada Lembaga Tembakau dan Kenaf Negara (LTKN) bagi memajukan tumbuhan tersebut sebagai alternatif di negara ini.

Bercerita lanjut tentang bahan binaan berteknologi hijau berasaskan pokok kenaf yang sebenarnya sudah diperkenal dan digunakan sejak 2018, ia mampu memberi keselesaan serta mengawal suhu ruang dalaman bangunan.

Menyokong usaha untuk melestarikan alam sekitar, VCI IBS Sdn Bhd mengambil langkah proaktif menghasilkan dan bertindak sebagai pembekal kepada pihak terlibat dengan industri pembinaan.

Kakitangan pemasarannya, Aliff Irfan Faiqal Ahmad Maliki, 24, menjelaskan, produk K-Nuffcrete tidak perlu diragui kerana mempunyai ciri-ciri keselamatan terutamanya ketika situasi kecemasan.

6289382720958217628

Aliff menjelaskan tentang kelebihan konkrit kenaf.

Tahan kebakaran

Aliff berkata, penggunaan konkrit kenaf mempunyai keupayaan terbakar dengan lebih perlahan berbanding konkrit lain.

Ia juga berfungsi membantu melambatkan proses api merebak dan lebih marak apabila berlaku kebakaran di dalam bangunan.

"Konkrit kenaf ini tahan lasak, serap haba, tahan panas dan ada lapisan pelindung kebakaran.

"Ia juga hasilkan asap lebih rendah bila terbakar sekali gus membuatkan penghuninya lebih selamat daripada terhidu asap tebal," katanya kepada Majoriti.

Katanya, ketahanan itu juga pastinya diuji dahulu sebelum dipasarkan bagi memastikan ia betul-betul selamat digunakan.

"Kami sendiri sudah buat ujian, kami 'tembak' dengan api besar selama lebih sejam dan tidak terbakar," jelasnya.

6289382720958217629

Konkrit kenaf mempunyai daya ketahanan tinggi apabila berlaku kebakaran.

Ruang dalaman lebih sejuk

Di samping itu, penggunaan teknologi itu secara tidak langsung mewujudkan ruangan dalaman yang lebih nyaman dan sejuk di kala cuaca panas terik.

Katanya, disebabkan daya serapan haba yang tinggi pada bahan itu, ia sekali gus dapat membuatkan individu di dalam bangunan tidak rasa panas atau bahang melampau.

"Maklum balas kami terima daripada pelanggan sebelum ini di Kelantan dan Terengganu, mereka tak nafikan udara dalam rumah guna konkrit kenaf lebih sejuk berbanding konkrit simen biasa.

"Bahan ini juga sesuai untuk bangunan yang melibatkan ramai orang pada satu-satu masa seperti surau, masjid atau sekolah," katanya.

6289382720958217624

Perbezaan konkrit kenaf (kiri) dengan konkrit simen biasa (tengah dan kanan).

Ringan, kukuh dan jimat kos

Selain selamat digunakan, konkrit kenaf juga ringan, mempunyai struktur kukuh dan menjimatkan kos kepada penggunanya.

Aliff menjelaskan bahawa konkrit kenaf juga memerlukan campuran bahan lain seperti kapur, simen dan pasir untuk membuatkannya lebih kukuh dan tidak mudah pecah.

Menurutnya, tahap kekerasan konkrit kenaf lebih tinggi berbanding konkrit lain tanpa campuran daun tersebut.

"Semasa buat uji kaji, saya ketuk konkrit ni dengan tukul besi besar lebih 10 kali untuk betul-betul pecahkan jadi kepingan kecil.

"Lagi istimewanya, konkrit ini boleh dikitar semula jika berlaku kerosakan.

"Kos pula sangat jimat sebab konkrit kenaf dalam bentuk batu bata kecil dijual dengan harga RM1 sahaja iaitu lebih rendah daripada batu bata lain," jelasnya.

Aliff pada masa sama amat menyarankan orang ramai agar dapat melakukan perubahan ke arah inovasi tersebut sebagai alternatif baharu dalam pembinaan rumah dan sebagainya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram