SAMA ada membanteras pemberontak komunis atau menghadapi penjenayah tegar, Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin telah melalui pelbagai operasi mencabar sepanjang kerjaya cemerlangnya sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam satu temu bual eksklusif bersama Sunday Star, bekas komander Unit Tindakan Khas (UTK) itu menceritakan pengalamannya dalam membanteras jenayah selama lebih tiga dekad semenjak berkhidmat dengan sang saka biru.
Malah figura yang sudah berusia 78 tahun pernah memimpin dan menyertai operasi-operasi penting, termasuk memburu penjenayah terkenal, Bentong Kali.
BACA LAGI: 'Menyerahlah yob', pengganas Al-Maunah minta izin mandi dulu sebelum serah diri
BACA LAGI: Legasi Raja Ular Malaysia, perkenal 'petting zoo' pupuk kesedaran haiwan berbisa
Awal kerjaya
Meor Chek Hussien tertarik untuk menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila menghadiri sebuah pertunjukan jalanan dan mendengar lagu Polis Sedia Berkhidmat, yang menyemarakkan semangatnya untuk berkhidmat kepada negara.
“Lagu itu membuatkan saya mahu menyumbang kepada negara. Tambahan pula, saya tidak tahan mendengar tentang kekejaman pemberontak komunis yang menjadi mangsa penduduk kampung,” katanya.
Malah, jelas anak kelahiran Chenderiang, Tapah, Perak itu lagi, beliau menyaksikan sendiri kekejaman gerila komunis yang menindas penduduk kampung.
Pengalaman tersebut menyemarakkan lagi keinginan beliau untuk menyertai pasukan polis.
“Saya pernah melihat lebih 100 anggota komunis mengadakan pertemuan pada waktu malam di sebuah padang di kampung saya. Penduduk kampung hidup dalam ketakutan dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana jumlah mereka yang ramai,” katanya.
Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin
Beliau memohon untuk menjadi polis pada 1964 tetapi terpaksa menolak tawaran itu atas permintaan ibunya berikutan konfrontasi Indonesia-Malaysia ketika itu.
Namun, pada 1969, beliau sekali lagi mencuba dan diterima untuk menjalani latihan di Kolej Polis Kuala Kubu Bharu dekat Hulu Langat, Selangor pada tahun 1970.
Selepas enam bulan latihan, beliau ditugaskan di Cawangan Khas Bukit Aman sehingga 1975.
Ketika itu, situasi keganasan antarabangsa, termasuk di Timur Tengah, mendorong pembentukan Unit Tindak Khas (UTK).
Meor Chek Hussien adalah salah satu daripada sembilan pegawai dan 46 anggota yang dipilih untuk menjalani latihan intensif selama 12 minggu yang dikendalikan Rejimen Perkhidmatan Udara Khas (SAS) Britain.
“Pada 1975, Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar ketika itu mencadangkan penubuhan UTK bagi membendung isu keganasan akibat kegawatan di Timur Tengah.
"Ia bukanlah tugas yang mudah, kami banyak menerima ancaman dan antaranya ialah ancaman bom daripada pengganas," ceritanya sambil memaklumkan dia bertugas di unit tersebut selama 24 tahun sebelum dilantik sebagai komander pada 1992,"katanya.
Meor Chek Hussien mendedahkan bahawa banyak operasi UTK tidak boleh didedahkan kepada umum. Namun, beberapa operasi yang boleh dikongsikan termasuklah menumpaskan Botak Chin, Bentong Kali, Mat Komando, dan kumpulan Al-Maunah.
"UTK juga terlibat dalam menyelamatkan orang kenamaan dan kes culik.
“Kami juga pernah ditugaskan untuk mengesan pasangan suami isteri yang terlibat dalam gerakan komunis bawah tanah di Ipoh, Perak. Lelaki itu ditembak dan dibunuh tetapi isteri berjaya ditahan. Soal siasat membawa kami ke 17 tempat pembuangan makanan yang tertanam di dalam hutan,” katanya.
Meor Chek Hussein (kanan) bersama bekas Ketua polis Negara, Tan Sri Rahim Noor.
Pada 1999, Meor Chek Hussien dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur.
“Ketika itu, saya berdepan beberapa cabaran di Kuala Lumpur, termasuk jenayah melibatkan warga asing tanpa izin dan penagih dadah serta ragut,” katanya mengimbau kembali memori itu.
Menumpaskan penjenayah berbahaya
Mengimbau kembali operasi menentang Bentong Kali, atau nama sebenarnya P. Kalimuthu, beliau menyifatkan suspek sebagai penjenayah yang paling kejam pernah dikenalinya.
"Suspek tidak mempunyai perasaan, kejam, panas baran, dan sentiasa bersedia untuk membunuh.
"Bentong Kali tidak memerlukan sebab kukuh untuk membunuh. Dia pernah menembak mati seorang peniaga gerai hanya kerana ditegur ketika membuang air kecil di longkang berdekatan," katanya.
Kehidupan jenayah Bentong Kali bermula seawal usia 13 tahun selepas dia berhenti sekolah dan menyertai kumpulan kongsi gelap, Gang 04. Pada usia 19 tahun, dia dipenjarakan dan dibebaskan dua tahun kemudian.
Walaupun pernah ditahan di bawah Ordinan Darurat dan diletakkan di Pulau Jerejak, Pulau Pinang serta diperintahkan tinggal di bawah kediaman terhad, usaha-usaha untuk membendung kelakuan jenayahnya tidak berhasil.
Bercerita lanjut, Meor Chek Hussien berkata, suspek kemudiannya menyertai Gang 08 dan meneruskan aktiviti jenayah di sekitar Kuala Lumpur.
"Jenayahnya termasuk pembunuhan, cubaan membunuh, rompakan, pengedaran dadah, dan ugutan jenayah.
“Dia menjadi penjenayah paling dikehendaki di negara ini selepas terlibat dalam pelbagai jenayah, termasuk beberapa kes pembunuhan yang menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang awam," katanya.
Bentong Kali menjadi penjenayah paling dikehendaki di negara ini selepas terlibat dalam pelbagai jenayah, termasuk beberapa kes pembunuhan yang menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang awam. — Facebook/PDRM
Operasi 'Ops Buncit' berjaya menumpaskan Bentong Kali
Polis menggunakan pelbagai kaedah, termasuk menyebarkan poster wajah Bentong Kali kepada orang ramai. Usaha ini membuahkan hasil apabila pihak berkuasa berjaya mengesan suspek di sebuah rumah teres dua tingkat di Damansara, Petaling Jaya, pada awal pagi 29 Jun 1993.
Menurut Meor Chek Hussien, dalam serbuan tersebut, berlaku tembak-menembak antara polis dan kumpulan penjenayah.
"Seorang pengikut Bentong Kali, dikenali sebagai Billiard, terbunuh dalam insiden itu dan ketika Bentong Kali cuba melarikan diri dengan melompat dari balkoni, dia ditembak mati oleh penembak tepat polis, sekali gus menamatkan riwayat jenayahnya yang dikaitkan dengan sekurang-kurangnya 17 kes pembunuhan," ujarnya.
Meor Chek Hussien berkata, kejayaan menumpaskan Bentong Kali dan kumpulannya merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang 31 tahun kerjayanya dalam pasukan polis.
Kehidupan selepas PDRM
Meor Chek Hussien bersara pada tahun 2001 sebelum menjadi aktif dalam Persatuan Bekas Pegawai Kanan Polis Malaysia (Respa) beberapa tahun kemudian.
"Pada mulanya, saya dijemput untuk menyertai sebagai ahli. Akhirnya, ahli jawatankuasa melantik saya untuk mengendalikan kenyataan media mengenai aktiviti persatuan," katanya.
Pada tahun 2021, selepas dua tahun bersama Respa, beliau dilantik sebagai presiden.
"Respa bertanggungjawab menjaga kebajikan ahlinya. Kami tidak menerima geran daripada kerajaan tetapi kami berusaha mengumpul dana," jelasnya.
Jawatankuasa Respa mempunyai pelbagai portfolio, termasuk kebajikan, perniagaan, dan koperasi.
Meor Chek Hussien adalah salah satu daripada sembilan pegawai dan 46 anggota yang dipilih untuk menjalani latihan intensif selama 12 minggu yang dikendalikan Rejimen Perkhidmatan Udara Khas (SAS) Britain.
Jelasnya, Respa juga menyumbang idea kepada pihak berkuasa dan kerajaan untuk membanteras jenayah masa kini, termasuk penipuan dalam talian.
"Ada orang mungkin telah lupa akan sumbangan dan pengorbanan pegawai serta anggota polis yang telah bersara.
"Mereka hanya diingati semasa sambutan Hari Polis, Hari Pahlawan, dan Hari Kebangsaan.
"Saya berharap masyarakat menghargai hakikat bahawa keamanan dan kemakmuran yang mereka nikmati sekarang adalah hasil pengorbanan mereka yang gugur semasa bertugas dahulu.
"Kami tidak mengharapkan pujian, cuma kami mahu bekas polis dilayan sewajarnya berdasarkan pengorbanan dan sumbangan mereka kepada negara," katanya menutup bicara. — The Star/ FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram